KOTA TINGGI - Ibu bapa perlu memberi peluang pendidikan kepada anak-anak sama ada dengan melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi awam atau swasta mahupun institut kemahiran.

Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid berkata, tidak mempunyai pendidikan umpama memandu tanpa lesen, bukan sahaja diri sendiri kehilangan keyakinan bahkan mereka yang tidak mahu mencari ilmu juga akan membebankan orang lain.

Menurutnya, sebagai penjaga harus pastikan pelaburan penting iaitu anak-anak mendapat pendidikan terbaik untuk masa depan mereka.

“Seramai 100,000 orang anak kita masuk universiti, manakala selebihnya 40,000 tidak berpeluang. Anak kita bukan tidak cerdik, cuma minat dan fokus mereka tidak ada untuk belajar.

“Kerajaan sedar akan perkara ini sebab itu memperuntukkan RM4.8 bilion untuk 330,000 anak muda mendapat kemahiran melalui latihan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET).

“Pada tahun 2020 kita memerlukan sebanyak 1.5 juta tenaga mahir berkemahiran tinggi yang berpeluang memperoleh gaji tinggi. Kemahiran merupakan bidang yang harus direbut anak kita pada masa kini lebih-lebih lagi dengan adanya pembangunan dalam daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Jejak Pelajar @ U Parlimen Kota Tinggi anjuran Yayasan Pendidikan Malaysia (YPM) di Dewan Seri Cendana Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Tinggi, kelmarin.

Noor Ehsanuddin berkata, inisiatif diambil YPM yang mahu membantu anak muda melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi antara yang dipuji.

Menurutnya, kebanyakan ibu bapa menganggap apabila anak sudah sampai universiti mereka akan berada dalam keadaan baik-baik sahaja, sebaliknya tidak mengetahui anak berdepan dengan masa yang sukar.

“Dengan adanya YPM, yayasan ini akan membantu menyelia dan membantu pelajar. Yayasan tak ada kepentingan untuk mengaut keuntungan dan tujuan mereka hanya untuk membantu.

“Apabila orang membantu, sebagai pelajar kenalah bantu kembali dengan cara bila dapat peluang belajar harus belajar dengan bersungguh-sungguh,” katanya lagi.

Hadir sama, Ketua Eksekutif YPM, Kahar Kamaruddin; wakil PPD, Roslan Mohd Noh dan Penghulu Kanan Daerah, Mohamad Adam Ahmad.