Pensyarah dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr Siti Juita Mastura Mohd Saleh, 39, menjadi wanita Malaysia pertama memiliki lesen Juruterbang Kawalan Dron Profesional atau Remote Pilot License (RePL) yang diiktiraf oleh Lembaga Keselamatan Penerbangan Awam (CASA), Australia.

Beliau yang merupakan pensyarah dan penyelidik di Jabatan Kejuruteraan Aeronautik, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) mendapat lesen tersebut pada tahun 2019.

Dalam industri yang dimonopoli oleh kaum lelaki, beliau mempunyai kepakaran dalam bidang Struktur dan Reka Bentuk Pesawat, khususnya berkaitan Composite Aerostructures.

Graduan Doktor Falsafah Kejuruteraan Aeroangkasa dari Cranfield University, United Kingdom itu bergiat aktif bukan sahaja dalam bidang penyelidikan malah menjadi penggerak kepada pembangunan pensijilan aeroangkasa khususnya berkaitan teknologi dron yang kini ditawarkan di UTHM.

“Saya bersyukur kerana diberi peluang berbakti kepada universiti yang menggalakkan staf untuk terlibat dalam aktiviti komuniti.

“Menerusi pelbagai program yang diatur oleh UTHM, saya berpeluang untuk menyumbang khidmat bakti dan perpindahan ilmu berkaitan dron kepada komuniti setempat mahupun masyarakat Orang Asli,” katanya.

Selari dengan perkembangan UTHM dalam bidang pembangunan Dron, Dr Juita sebelum ini pernah terlibat dengan pembangunan Dron Penghantaran bagi mengikuti pertandingan Parcel Dron Malaysia anjuran Pos Malaysia 2019.

Hasil daripada pengalaman pembangunan dron, beliau bersama-sama penyelidik lain kini telah menghasilkan satu produk komersial dron pertanian PINEXRI-20 menerusi projek kolaborasi antara UTHM dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (MPIB).

Manakala bagi projek pembangunan Dron Gergasi Malaysia di UTHM atau dikenali sebagai C-Drone, Dr Juita telah diberi tanggungjawab sebagai Ketua Unit Analisa Struktur.

Menerusi projek khas negara ini, beliau dapat menimba pengalaman dan menggunakan kepakaran yang dimiliki dalam aplikasi sebenar.

Tidak terhenti di situ, hasil kerjasama dengan industri, satu geran penyelidikan telah diberikan oleh UTHM kepada beliau untuk membangunkan prototaip pesawat terbang rendah yang juga dikenali sebagai wing-in-ground effect craft.

Berada di salah satu institusi pengajian tinggi yang terkenal dengan aktiviti melibatkan bidang pengangkutan aeroangkasa, keretapi dan automotif, Dr Juita komited untuk meneruskan aktiviti penyelidikan dan pembangunan produk aeroangkasa selari dengan hasrat negara untuk memperkasa industri aeroangkasa menjelang 2030.