PONTIAN - Tindakan pantas dua beranak berjaya menyelamatkan mereka dalam kebakaran melibatkan dua buah rumah dan sebuah Tabika Kemas di Kampung Parit Pasir, Pekan Nanas malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 8 malam itu, mangsa, Nor Aznizah Mohd Noor, 35, bersama anaknya, Mohd Faiq Aiman, 11, bergegas keluar dari rumah selepas melihat api marak di bahagian dapur rumah sewanya itu.
Nor Aznizah yang juga ibu tunggal berkata, kebakaran disedari selepas terdengar bunyi letupan ketika dia sedang berehat selepas solat Maghrib
“Saya terus keluar rumah apabila terdengar kebakaran itu menyebabkan bunyi letupan daripada luar rumah. Rupanya dapur rumah dah terbakar.
“Saya panggil anak dan cepat-cepat keluar dari rumah untuk selamatkan diri,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Menurutnya, dia hilang punca pendapatan selepas perkakas membuat kuih hangus.
Seorang lagi mangsa, Sad Rudin Mohamad, 28, berkata, ketika kejadian dia bersama isteri, Mastura Gharif Jamal, 28, berada di masjid menunaikan solat Maghrib dan mengikuti kuliah agama.
Mastura berkata, tiga orang anak berusia tiga tahun dan pasangan kembar berusia setahun turut dibawake masjid yang terletak dua kilometer dari rumah sewa yang terbakar itu.
“Jiran, Nor Aznizah telefon saya beritahu rumah terbakar. Saya bergegas pulang, tetapi tak sempat selamatkan apa- apa.
“Api marak membakar keseluruhan rumah kayu dalam sekelip mata. Lepas itu ada percikan api daripada wayar bekalan elektrik di luar rumah.
“Diharap bantuan rumah segera diberikan,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nanas, Mahadir Mamat berkata, seramai 10 anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan selain punca dan anggaran kerugian disiasat.
20 murid Tabika Kemas terjejas
Seramai 20 murid Tabika Kemas Kampung Parit Pasir Pekan Nanas terjejas apabila bangunan tempat mereka belajar terbakar kelmarin.
Kebakaran turut melibatkan dua buah rumah bersebelahan dengan tabika terbabit.
Pembantu Pembangunan Masyarakat Tabika Kemas Kampung Parit Pasir, Ariyanti Jamian berkata, kebakaran pada jam 8 malam itu melibatkan bilik darjah, bilik rawatan, bilik air dan dapur.
Menurutnya, bekalan makanan untuk enam bulan yang disimpan antaranya beras, tepung, gula dan ikan bilis turut terbakar.
“Kita cuba cari tabika berdekatan untuk tempatkan murid.
“Buat masa sekarang murid ditempatkan sementara di Dewan Orang Ramai Kampung Parit Pasir,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Operasi Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam memberikan sumbangan makanan dan barang keperluan.