MERSING - Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan membawa keluhan elaun guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) ke Majlis Agama Islam Johor (MAIJ).

Timbalan Pengarah Pendidikan Agama Bahagian Pendidikan Islam, Yosree Ikhsan berkata, walaupun guru KAFA tidak termasuk dalam bajet, namun beliau melihat ada keperluan diberikan kepada enam guru di sini.

“Dari segi tenaga guru di kebanyakan pulau saya lihat mencukupi, tapi sebahagian guru masih belum dapat elaun kritikal khususnya pengangkutan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas lawatan ke beberapa sekolah agama pulau di Mersing.

Beliau turut mengambil maklum permohonan sesetengah sekolah agama untuk memiliki bangunan sendiri.

Beliau yang turut menghadiri acara tahunan Sekolah Agama Pulau Tinggi, Sambutan Maulidur Rasul akui kagum melihat suasana kebersamaan dan semangat gotong-royong yang masih diterapkan.

“Kita galakkan mana-mana masjid, surau dapat kerjasama wujudkan suasana gotong- royong terutama di kawasan bandar.

“Apa-apa majlis kalau guna perkhidmatan penyedia makanan kurang menampakkan kemesraan antara penduduk. Suburkan kembali gotong-royong itu,” katanya.

Senada dengan beliau, Timbalan Ketua Jemaah Nazir Negeri Johor, Mohd Hidris Shahri yang mengalami sendiri kemesraan itu sejak beberapa tahun lalu.

“Pengalaman saya yang pernah berkhidmat enam tahun di Mersing. Walaupun saya dah lama tinggalkan Mersing tapi mereka masih jaga hubungan.

“Mereka masih jemput saya sekiranya ada sebarang majlis. Nilai positif ini perlu disebarkan kepada masyarakat luar.

“Hampir 10 tahun saya hadir majlis Maulidur Rasul, tapi tetap ada kelainan di sini dari tempat lain.

"Di luar mana ada pertandingan azan, berzanji, dan baca surah al-Fatihah untuk dewasa kalau kanak-kanak biasa,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya guru di bandar dibawa masuk ke situ bagi memahami kesukaran guru di pulau.Walaupun guru KAFA tidak termasuk dalam bajet, namun Timbalan Pengarah Pendidikan Agama Bahagian Pendidikan Islam melihat ada keperluan diberikan kepada enam guru