Berpegang kepada matlamat, kongsi rezeki bersama anak-anak yatim dan golongan asnaf, Unit Kebajikan Hal Ehwal Murid SK Laksamana, Kota Tinggi Johor telah mewujudkan ‘Gerobok Rezeki’ bagi membantu mengurangkan beban murid-murid terpilih di sekolah itu.

Guru Besarnya, Bibi Sakinah Haron Khan berkata, program tersebut mendapat bantuan dana daripada sumbangan individu, kemanusiaan dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Prihatin terhadap nasib segelintir muridnya, beliau menyasarkan bantuan berupa makanan keperluan asas, pakaian sekolah dan alat tulis itu diberikan kepada mereka yang kurang kemampuan.

“Program ini sebagai medium mendidik warga sekolah tentang konsep berkongsi rezeki dan menyemai budaya peduli insan terhadap rakan yang lebih susah.

“Selain itu, kami turut memfokuskan ‘berkongsi rezeki’ ini , sebagai ejen perpaduan, tanpa mengira agama dan bangsa serta menjadikan amalan sedekah sebagai budaya dalam diri murid-murid,”katanya.

Tambah beliau, usaha ini tidak akan berhasil tanpa sokongan semua pihak, terutamanya Penolong Kanan HEM, Noryati  Unos, semua ahli jawatan kuasa kebajikan,dan juga Cikgu Siti Fatimah  Masrom, seorang guru kebajikan yang sangat prihatin nasib murid.

“Menerusi program ‘Gerobok Rezeki’ ini, beberapa misi bantuan telahpun dijalankan, antaranya Program K-Stay, Program Bersama Pertubuhan Keinsanan Malaysia, Program K-Ramadhan Charity, Sumbangan Alat Tulis dan K-ADHA Charity.

“Anggaran dana yang diperlukan untuk setiap pemberian bantuan secara berkumpulan adalah dalam RM3,000 hingga RM4,000. Namun untuk pemberian mengikut keperluan murid, kos kebiasaannya tidak melebihi RM1,000 mengikut jenis bantuan yang diberikan,”jelasnya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan, boleh berbuat demikian menerusi akaun bank Tetuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Laksamana, Bank Islam, 01069010009768.