JOHOR BAHRU - Walaupun bukan dikategorikan sebagai petugas barisan hadapan, peranan guru juga penting untuk memastikan pelajar tidak tercicir dalam pembelajaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kebanyakan guru di Johor, memanfaatkan pelbagai pelantar pembelajaran yang disediakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan aplikasi alternatif lain bagi memastikan setiap pelajaran, latihan atau kuiz yang diberikan, sampai kepada pelajar mereka.

Faidah Yusof, 27, guru di Kolej Vokasional Perdagangan Johor Bahru, berkata beliau memberi latihan atau kuiz kepada pelajarnya menerusi aplikasi Goole Drive dan Kahoot iaitu pembelajaran berdasarkan permainan, yang dilihat lebih mudah untuk digunakan.

Beliau yang mengajar mata pelajaran Sejarah berkata sesi pembelajaran sepanjang PKP lebih mencabar berbanding pembelajaran dalam kelas kerana suasana yang berbeza dan guru pula mengajar menggunakan platform dalam talian seperti Google Classroom, YouTube, WhatsApp dan Telegram.

"Mungkin tidak semua pelajar dapat akses internet untuk video contohnya seperti Zoom. Jadi, saya pilih platform Telegram dan Google Classroom yang mudah digunakan oleh pelajar.

"Selepas habis mengajar, pelajar akan diberi latihan atau kuiz menggunakan Google Drive atau Kahoot. Setiap pelajar yang hantar (kuiz atau latihan), saya akan senaraikan nama mereka dan catat. Jadi, saya dapat tahu mana pelajar yang buat dan mana tidak,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurut Cikgu Faidah, bagi pelajar yang tidak mempunyai akses internet, peranti digital atau elektronik pula, mereka digalakkan belajar menerusi buku teks dan buku latihan.

Sementara itu, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Habab, Kota Tinggi, Mohd Nor Akmal Salleh pula memilih menggunakan Google Classroom, WhatsApp dan Telegram untuk berinteraksi dengan pelajarnya.

Guru berusia 35 tahun itu turut memberi latihan atau kuiz kepada pelajar menerusi platform  berkenaan,  selain menyediakan fail dalam bentuk Microsoft Word dan Portable Document Format untuk kemudahan pelajarnya.

"Sebagai guru, saya faham mungkin ada pelajar yang tidak mempunyai telefon bimbit dan laptop sendiri, selain mempunyai masalah akses internet dan sebagainya,” katanya.

Guru mata pelajaran Bahasa Melayu dan Asas Sains Komputer itu berkata KPM, Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan semua pihak telah memberi pelbagai pilihan kepada guru untuk mengajar semasa tempoh PKP, dan berharap pelajar tidak melepaskan peluang diberikan. - Bernama

Artikel menarik:

'Saya buat cara old school. Guna Whatsapp aje' - Guru lain boleh ikut cara Cikgu Ain tak pening

Guru ini buat video cara mudah 'login' Google Classroom sebagai murid.. mohon ibu bapa bantu

Patutlah ramai cikgu buat Google Classroom...rupa-rupa ini faktornya

11 nota asas Matematik yang wajib dan sepatutnya murid tahap dua kuasai

Mudahnya tanda jawapan murid di telefon, ini kaedahnya yang boleh cikgu cuba