Seramai 250 sukarelawan, bergotong-royong membersihkan Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Pasir Raja, Felda Pasir Raja, Kulai Johor.

Pengetuanya, Ja'far Ahman berkata, Program Gotong-royong Perdana Kenduri Sekampung yang dianjurkan itu turut membabitkan penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan masyarakat setempat.

"Program ini berjaya mengeratkan hubungan, seterusnya memupuk sikap bekerjasama melibatkan pendidik dan masyarakat pelbagai lapisan umur.

"Kejayaan program kali ini akan diteruskan pada masa akan datang. Saya rasa seronok apabila program yang dianjurkan mendapat sambutan masyarakat setempat,” katanya.

Turut serta dalam program itu Komuniti Felda, Majlis Permuafakatan Komuniti Kampung (MPKK), Gerakan Persatuan Wanita (GPW), Belia, Kemas, Masjid, Klinik Kesihatan Bukit Besar dan  Klinik Desa Pasir Raja.

Antara program yang dilaksanakan adalah mengecat tembok sekolah, menceriakan kantin dan menanam pokok buah-buahan.

Selain itu, turut diadakan program untuk murid SK LKTP Pasir Raja antaranya aktiviti pendedahan mengenai fungsi bantuan pernafasan atau kardiopulmonari pernafasan (CPR), bantu mula, balutan dan keselamatan kebakaran.

Program yang bermula jam 7 pagi hingga 5.30 petang itu turut diselitkan dengan aktiviti rewang menyediakan sarapan, makan tengah hari dan minum petang kepada peserta. Klinik Kesihatan Bukit Besar turut mengadakan pemeriksaan kesihatan seperti tekanan darah, gula, obesiti dan saringan tuberkulosis secara percuma.

 

Klinik Desa Pasir Raja dan Klinik Kesihatan Bukit Besar menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk setempat.

 Ja'far turut mengecat pagar sekolah.

Tema JDT dipilih untuk pagar sekolah.

 Sukarelawan turut menceriakan kantin sekolah.

Senamanrobik oleh pelajar UTM sebagai pembuka acara.

Guru SK Pasir Raja, wakil PIBG dan penduduk kampung bekerjasama memasak juadah makan tengah hari.