JOHOR BAHRU - Mengusahakan produk kraf tangan kanak-kanak menerusi imaginasi, itu dilakukan suri rumah sepenuh masa, Shahizatul Farha S Rosli, 35.

Ibu kepada tiga cahaya mata ini giat menghasilkan barangan seperti imaginative playmat, busy book, busy mat, stationary, mini bag, pocket file dan diary.

Shahizatul Farha atau lebih mesra disapa Farha berkata, produk pertama dihasilkan adalah imaginative playmat yang mendapat ilham daripada anak-anaknya.

"Ketika itu mendapat ilham daripada anak-anak terutama dua anak lelaki. Mereka banyak koleksi litar dan trek kereta, tetapi semua tidak bertahan lama dan rosak.

"Jadi saya terfikir untuk hasilkan sendiri litar kereta daripada kain supaya tidak mudah rosak. Pada masa sama, saya ingin pastikan litar itu mudah di bawa ke mana-mana. Maka terhasillah imaginative playmat," katanya kepada Sinar Harian.

Farha yang kini aktif sebagai work at home mother berkata, susulan itu, beliau cuba hasilkan playmat untuk anak perempuannya berkonsepkan doll house.

Ditanya pengalaman menjahit dimilikinya, katanya, beliau hanya belajar teknik asas jahitan ketika di sekolah menengah dan tutorial di YouTube.Bekas wartawan akhbar itu tidak menafikan mengalami kesukaran dalam menghasilkan kraf tangan kanak-kanak terutama playmat pada awalnya.

"Pada mulanya, agak sukar sebab kali pertama mencuba, tapi lama kelamaan semakin mahir," katanya.

Farha berkata, beliau dapat ilham daripada permainan anak selain menerusi enjin carian google serta pinterest.

Menceritakan lanjut tentang produk dihasilkan, katanya, tempoh penghasilan bergantung kepada jenis produk.

"Contohnya, playmat mengambil masa satu hingga dua hari untuk dihasilkan.

"Manakala produk lebih kecil seperti mini bag, diary, pocket file dan stationary dapat dihasilkan empat hingga lima unit sehari," katanya.

Menurutnya, selepas berhenti kerja sebagai wartawan pada April tahun lalu, beliau mula terfikir untuk hasilkan produk jenama sendiri.

"Saya minat kraf, jadi saya mula hasilkan beberapa produk untuk anak-anak sebagai percubaan.

"Saya bersyukur kerana kebanyakan produk mula mendapat respon positif dari rakan yang ingin membelinya selepas saya memuat naik dalam Facebook.

"Sejak itu saya mula aktif menghasilkan lebih banyak produk untuk peringkat umur kanak-kanak," katanya.

Ditanya waktu untuk menghasilkan produk tersebut, beliau berkata, pada kebiasaannya akan menjahit pada waktu siang di rumah.

"Saya mempunyai sudut khas untuk menjahit dan membuat kraf supaya mudah bekerja sambil memerhatikan anak-anak," katanya.

Farha berkata, sejak tahun lalu, lebih 100 produk pelbagai jenis berjaya dijual dengan harga bermula serendah RM25.

"Setakat ini produk yang paling laris adalah busy book. Setiap produk yang dihasilkan merupakan custom made.

"Ini bagi memudahkan pelanggan memilih corak atau tema kesukaan anak-anak selain boleh meletakkan nama masing-masing pada barangan yang ditempah," katanya.

Beliau yang memulakan perusahaan kraf tangan kanak-kanak menggunakan wang simpanan sendiri dan mesin jahit pemberian ibunya, memasang hasrat membuka bengkel atau kedai kraf sendiri pada masa akan datang.

"Insya-ALLAH saya berhasrat untuk membuka bengkel atau kedai kraf sendiri, selain menambah mesin jahitan dan kraf.

"Di samping itu, mahu cari pembantu supaya dapat mengembangkan lagi produksi," katanya.

Bagi mereka yang berminat, boleh hubungi Farha menerusi aplikasi WhatsApp di talian 0177947779 atau Facebook The Little Z atau Instagram thelittle.z.