PELAJAR Tingkatan Lima Sekolah Sukan Negeri Sekolah Menengah (SM) Seri Kota, Muhammad Nordanial Mohd Khir, 17, yang maut dihempap pokok di Jalan Kandang- Ayer Molek di sini,
semalam antara pemain hoki berpotensi besar.

Menurut jurulatihnya, Norhamezi Omar, pemergian Allahyarham Mohammad Nor Danial satu kehilangan besar buat sukan hoki negeri Melaka.

Norhamezi

Norhamezi berkata, kali terakhir dia bersama Allahyarham ketika menyaksikan Pasukan A Young Hurricane yang bermain di Liga Hoki Remaja Bawah 19 di Stadium Hoki Tun Razak, Jalan Duta, Kuala Lumpur kelmarin.

“Allahyarham sertai Pasukan B tapi pasukannya gagal. Tapi kerana minat serta semangat terhadap sukan hoki dia tetap hadir beri sokongan.

“Saya kenal dia agak lama, dia wakil sekolah dan pernah bantu sekolahnya juara peringkat negeri,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Melaka di sini, semalam.

Bagi Norhamezi, Allahyarham seorang pemain yang tidak banyak bercakap tetapi senang diajar dan dididik.

“Dalam pasukan dia bermain untuk pertahanan dan selalu cipta rentak dan taktikalpertahankan posisinya dari dibolosi.

“Esok kami akan bawa pasukan sekali lagi ke Stadium Tun Razak untuk beraksi menentang Sabah Worrior dan kami akan cadangkan semua pemain bertafakur sebentar. Bagi pemain Islam kita akan sedekah Al-Fatihah,” katanya.

Motosikal mangsa yang baru sebulan digunakan.

Allahyarham Mohammad Nordanial yang dalam perjalanan ke sekolahnya maut dihempap pokok kedondong hutan di Jalan Kandang-Ayer Molek di sini, semalam.

Kejadian malang pada jam 7.30 pagi itu mengorbankan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu yang meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 150ZR dalam perjalanan dari rumahnya ke Sekolah Sukan Negeri Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kota di sini.

Setibanya di lokasi kejadian, dahan pokok jatuh di tengah laluan jalan dan menghempap mangsa serta kenderaannya.

Mangsa yang terperangkap dikeluarkan oleh pasukan bomba yang tiba pada jam 7.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, seorang guru, Mohamad Diah Ibrahim berkata, pihaknya mengetahui kejadian itu pada jam 7.45 pagi selepas menerima panggilan daripada polis dan bergegas ke lokasi.