JOHOR BAHRU - Tahap kesihatan jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim yang dikenal sebagai Cikgu Poad diakui sedikit mengganggu mentaliti atlet yang berlatih di bawahnya.

Ketua jurulatih olahraga negara, Zainal Abbas berkata, perkara itu sudah semestinya berlaku apatah lagi hubungan antara jurulatih berkenaan dan atletnya sangat akrab.

“Sudah tentu semua atlet beliau ketika ini agak murung. Ini sebab mereka turut merasai kedukaan, lagi-lagi keadaan jurulatih mereka yang sedang kritikal.

“Bagaimanapun, semalam bila saya bercakap dengan Badrul Hisyam (Badrul Hisyam Abdul Manap) yang berada di sini,  dia kata latihan tetap akan diteruskan dengan perancangan yang telah disiapkan coach Poad sebelum dia menjadi begini.

“Semua persediaan itu juga akan dibantu dan dikendalikan jurulatih yang berada di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) tetapi biasalah kalau atlet itu dah biasa dengan seorang jurulatih, memang akan terasa kehilangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa melawat Cikgu Poad di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, semalam.

Dalam perkembangan sama, Zainal memaklumkan Cikgu Poad kini menunjukkan perkembangan positif apabila sudah mula sedar daripada koma sejak Selasa lalu.

“Respons dah ada daripada Poad, dari segi pergerakan dia dah mula sedar. Tapi kita harapkan beliau mendapat rawatan terbaik untuk pastikan beliau pulih sepenuhnya.

“Dia juga menunjukkan banyak tanda positif dan saya kagum melihat semangat ‘coach’ sendiri. Walaupun berada di ICU, saya dapat lihat beliau sedang berjuang dengan mengerjakan solat (secara baring),” katanya.

Sabtu lalu, Cikgu Poad dimasukkan ke HSA kerana mengalami jangkitan di paru-paru sebelum menerima rawatan di  unit rawatan rapi (ICU) Selasa lalu.

Sebagai rekod, Cikgu Poad adalah guru dari Chabau, Jasin, Melaka yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani Open University Malaysia (OUM).

Antara kejayaannya adalah melahirkan pemenang pingat emas acara pecut 100 meter Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Khairul Hafiz.

Cikgu Poad membentuk The Speedy Jantan untuk menamatkan kemarau 14 tahun emas negara bagi acara reben biru dengan catatan masa 10.38s, sekali gus menewaskan juara edisi lalu dari Filipina, Eric Cray.