PASIR GUDANG - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor mengedarkan alat pengesan gas ke 111 sekolah di Pasir Gudang, Johor bagi membolehkan pihak sekolah mengukur kualiti udara.

Pengarahnya, Wan Abdul Latiff Wan Jaafar berkata, alat itu diedarkan supaya pihak sekolah boleh mengukur kualiti udara dan seterusnya mengambil tindakan awal jika berlaku sebarang kemungkinan.

“Jika berlaku sebarang pengesanan, maknanya ada bacaan yang tinggi, tindakan awal boleh diambil oleh pihak sekolah untuk menyelamatkan pelajar daripada terkena simptom muntah, loya dan sebagainya,” katanya di sini semalam.

Wan Abdul Latiff berkata, sekiranya bacaan 'volatile organic compound' (VOC) tinggi, pihak sekolah perlu maklumkan kepada JAS untuk tindakan susulan.

“Kita akan datang membawa peralatan yang lebih spesifik yang boleh mengukur lebih daripada 50 parameter. Jadi alat ini (pengesan gas) sebenarnya kita pinjamkan sementara sampai Ahad,” katanya.

Beliau berkata, pada masa ini, JAS sedang mengadakan perbincangan dengan pihak industri untuk mengambil beberapa langkah secara bersama berkaitan insiden tersebut.

Kata beliau, pihaknya mahu sekolah di Pasir Gudang menjadi sekolah angkat kepada pihak industri terlibat.

“Kalau boleh 111 sekolah itu ada ‘bapa angkat’. Industri tersebut juga akan menyediakan alat pengesan gas dan akan diberi secara kekal di sekolah,” katanya.

Wan Abdul Latiff (kanan) mendengar penerangan penggunaan alat pengesanan gas kepada pihak sekolah.

Menurutnya, usaha melibat samakan sekolah dan industri itu bagi membolehkan semua pihak turut memainkan tanggungjawab mendepani cabaran insiden tersebut.

“Turut dibincangkan cadangan menyediakan air 'purifier' di dalam kelas dan setakat ini sudah ada industri menzahirkan hasrat untuk memberikan komitmen,” katanya.

Beliau memaklumkan sebanyak 172 pemeriksaan dilakukan terhadap premis kilang kimia dan mengendalikan bahan berbahaya sekitar Pasir Gudang setakat 8 pagi semalam.

“Sebanyak 98 kompaun, 46 notis arahan, sembilan perintah tahanan operasi telah dikeluarkan,” katanya.

Guru 3K (Keselamatan, Keceriaan, Kesihatan) SMK Taman Nusa Damai Mohammad Noor Munshi Murshidee Al Aziz menunjukkan alat pengesan gas yang disediakan oleh JAS Johor di
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Nusa Damai Pasir Gudang.

Baca:

'Tak boleh ustazah. Pagi ibu kalut masak dan malam saya ikut ibu pergi berniaga' - Netizen sebak

'Ada yang terpaksa jalan kaki selama satu jam, naik bot dan redah hutan untuk ke sekolah'

'Terus berbuat baik dengan guru walaupun didenda' - Ini pesan pakar motivasi kepada pelajar

Lima sebab KPM tamatkan khidmat 1BestariNet dan alternatif yang disediakan

'Saya ke sekolah bergantung keadaan cuaca dan bot' - Petronas bantu murid SK Balambangan (5 foto)