JOHOR BAHRU - Sumbangan lebih 40 tahun dalam bidang pendidikan termasuk berkhidmat sebagai bekas pengetua di tiga sekolah menengah di Segamat menjadikan Ayob Jantan terpilih sebagai Tokoh Guru Peringkat Negeri Johor 2019.

Ayob, 66, dan merupakan anak kelahiran Masjid Tanah, Melaka berkata beliau yang berkhidmat sejak 1977 dan bersara pada 2011 tidak menjangka akan menerima penghargaan demikian.

"Saya berpuas hati sepanjang perkhidmatan, malah saya juga sentiasa melibatkan diri dalam kesemua aktiviti kokurikulum malahan aktiviti bersama ibu bapa pelajar,” katanya yang ditemui pemberita selepas menerima anugerah itu bersempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Johor 2019, di sini hari ini.

Anugerah itu disampaikan Menteri Besar Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Ayob turut menerima wang berjumlah RM10,000 daripada Kementerian Pelajaran Malaysia, piala iringan, pingat serta wang sumbangan Bank Simpanan Nasional dan Bank Islam masing-masing bernilai RM5,000.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Timbalan Pengarah Pendidikan Johor, Azman Adnan.

Ayob yang pernah menerima Anugerah Tokoh Guru Daerah Segamat 2016 berkata, guru-guru pada masa kini berdepan pelbagai cabaran seiring transformasi pendidikan.

 "Kerjaya guru sekarang menuntut mereka untuk meningkatkan profesionalisme masing-masing, jika tahap profesionalisme guru-guru ini di peringkat biasa, maka sukar untuk mereka kekal releven,” kata bapa kepada enam anak itu.

Tokoh Kepimpinan Pendidik Negeri Johor Abdul Aziz Redwan (kiri) dan Tokoh Guru Negeri Johor ayob jantan masing-masing menerima pingat penghargaan dan cek bernilai RM10,000 dari Kementerian Pendidikan Malaysia yang disampaikan oleh Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal pada Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Johor kali ke-48 bertemakan 'Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi' di Dewan Cahaya TNB Kempas hari ini.- Foto Bernama

 

Sepanjang perkhidmatan, selain mengajar subjek Bahasa Inggeris, Ayob antaranya pernah menjadi penasihat Program sekolah Amanah Kementerian Pendidikan pada 2014 hingga 2017 dan Pengetua sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kenangan, Batu Anam, SMK Gemereh dan SMK Tinggi Segamat.

Beliau turut pernah menerima anugerah Wind Orchestra: Gold Medal peringkat antarabangsa pada 2010 dan merupakan penerima Niche Area: Pertandingan Ragbi Dunia tempat ketiga kebangsaan serta menyertai pelbagai misi bantuan kemanusiaan seperti Pasca Bencana Gempa Bumi, Padang Pariman, Indonesia, Misi Sukarelaan Bantuan kepada anak yatim korban tsunami di Acheh pada 2010 serta Misi Kemboja 2009.

Beliau juga aktif dalam menyumbangkan beberapa hasil ilmiah seperti buku teks Bahasa Malaysia Kurikulum Bersepadu sekolah Menengah (KBSM) Peralihan dan buku teks Bahasa Malaysia tingkatan empat.

Sementara itu, Dr Sahruddin dalam ucapannya mengingatkan para guru supaya menggandakan usaha menyediakan modal insan yang mampu menyahut cabaran ekonomi masa hadapan.

Beliau turut berharap golongan pendidik dapat melahirkan pelajar yang mempunyai kriteria keperluan pekerjaan era Revolusi Industri 4.0.

"Usaha ke arah pembangunan negeri bukan hanya terletak di tangan kerajaan negeri tetapi memerlukan sokongan warga pendidik.

"Saya menyeru warga guru agar melipat gandakan usaha mendidik dan memajukan anak bangsa dalam menyediakan modal insan untuk menyahut cabaran ekonomi dan kemajuan yang sangat besar kini,” katanya. - Bernama