KOTA TINGGI - Unit Bahagian Kaunseling dan Psikologi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengadakan pelbagai aktiviti permainan untuk kanak-kanak di pusat pemindahan banjir Dewan Serbaguna Kota Kecil, di sini.

Pegawai JKM daerah, Noor Faezah Muhamad Fadzil berkata, pendekatan itu adalah langkah untuk menghilangkan bosan di samping mengisi masa terluang kanak-kanak terbabit.

“Unit kaunselor mencari medium permainan bersesuaian agar dapat dimanfaatkan kanak-kanak di sini.

“Melalui aktiviti yang dijalankan, kami mahu kanak-kanak ini terhibur dan secara tidak langsung dapat mengelakkan mereka daripada trauma dengan keadaan semasa banjir,” katanya.

Menurut Noor Faezah, aktiviti itu melibatkan kira-kira 200 kanak-kanak dan antara jenis permainan yang ditampilkan seperti teng teng, teka teki, dam, selain aktiviti mewarna.

"Pendekatan yang kita guna secara tidak langsung dapat mendekatkan kita dengan mangsa dan mereka tidak berasa asing di sini," katanya.