JOHOR BAHRU - "Kenapa tutup (muka)? Dalam mahkamah tak ada kimia pun. Bukalah."

Demikian teguran sinis Hakim Jailani Rahman ke atas salah seorang daripada tiga tertuduh yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan melupuskan bahan kimia berhampiran Sungai Kim Kim dan bersubahat.

Sewaktu pertuduhan dibacakan ke atas seorang pengarah sebuah syarikat memproses tayar terpakai, Wang Jing Chao, 34, tertuduh ketiga warga Singapura itu mengenakan topeng muka di dalam mahkamah.

Selain Jing Chao, turut dituduh melupuskan bahan kimia dan bersubahat adalah pemandu lori, N Maridass, 35, dan seorang lagi pengarah syarikat, Yap Loke Liang, 36.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melupuskan buangan terjadual SW311 iaitu buangan minyak atau enap cemar berminyak, seperti yang disenaraikan dalam Jadual Pertama Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual 2005) ke dalam Sungai Kim Kim.

Maridass didakwa melakukan kesalahan itu dengan menggunakan sebuah lori Mitsubishi dan treler tangki tanpa mendapat apa-apa kelulusan bertulis daripada Pengarah Jabatan Alam Sekitar.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di kawasan berhampiran tapak projek pelebaran jalan Sungai Kim Kim, Jalan Kota Masai 1, Pasir Gudang, antara jam 12.01 dan 1 pagi pada 7 Mac lalu.

Pendakwaaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Md Kamal mengikut Seksyen 34B(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Jika sabit kesalahan, lelaki yang bekerja sambilan sebagai mekanik itu berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda tidak melebihi RM500,000.

Jailani membenarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu, Loke Liang dan Jing Chao didakwa secara berasingan atas pertuduhan bersubahat dengan Maridass.

Setelah mendengar hujah kedua pihak, hakim, Jailani membenarkan jaminan RM250,000 dengan seorang penjamin terhadap Loke Liang dan menyerahkan pasport kepada mahkamah manakala Jing Chao tidak dibenarkan diikat jamin.

KRONOLOGI PENCEMARAN SISA BAHAN KIMIA SUNGAI KIM KIM

7 MAC 2019

Seorang pelajar lelaki dilaporkan pengsan, manakala lima lagi muntah dipercayai terhidu gas kimia di kawasan Taman Pasir Putih, dekat Pasir Gudang.

7 MAC 2019

Kerajaan Johor mengarahkan SMK dan SK Taman Pasir Putih ditutup.

7 MAC 2019

Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor bertindak memastikan tumpahan bahan kimia di Sungai Kim Kim tidak merebak.

8 MAC 2019

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor menyenarai pendek 30 kilang dipercayai terbabit.

9 MAC 2019

Jumlah mangsa terhidu gas kepada 79 orang.

9 MAC 2019

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor memeriksa CCTV bagi mengesan mana-mana lori tangki yang melalui kawasan sekitar Pasir Gudang menuju ke Sungai Kim Kim.

9 MAC 2019

Kerja pembersihan Sungai Kim Kim bermula.

11 MAC 2019

SMK Pasir Putih dan SK Pasir Putih ditutup semula selepas pelajar mengadu sesak nafas.

11 MAC 2019

Polis dan JAS menahan tiga suspek yang dipercayai membuang sisa kimia dalam Sungai Kim Kim.

12 MAC 2019

Seramai 260 mangsa baharu melibatkan pelajar dan orang awam.

12 MAC 2019

SK Tanjung Puteri Resort diarah dikosongkan dan ditutup buat sementara waktu susulan beberapa muridnya sesak nafas.

13 MAC 2019

Kementerian Pendidikan mengarahkan semua 111 sekolah di daerah Pasir Gudang ditutup.

13 MAC 2019

Bahan kimia daripada proses penguraian tayar iaitu D-Limonene antara bahan utama dikenal pasti terdapat pada empat sampel air diambil JAS di Sungai Kim Kim.

14 MAC 2019

Seramai 2,775 orang awam telah menerima rawatan, tujuh dirawat di ICU. Sebanyak 51 laporan polis diterima.

14 MAC 2019

Dewan Rakyat mula membahaskan usul tergempar bekaitan Sungai Kim Kim.

14 MAC 2019

Tim Tinjau Chemical Biological, Radiological and Nuclear (CBRN) dan Tim Casualty Evacuation Unit Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digerakkan ke kawasan terjejas.

14 MAC 2019

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, meninjau situasi semasa di kawasan Pasir Gudang. Kerajaan Persekutuan menegaskan ia belum sampai kepada tahap perlu diisytiharkan darurat.

17 MAC 2019

Menteri Tenaga, Sains, teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin mengesahkan Sungai Kim Kim sudah dibersihkan.

19 MAC 2019

Jajaran sejauh 1.5 kilometer Sungai Kim Kim disahkan selamat dan bebas pencemaran.

19 MAC 2019

JAS mengesahkan kualiti udara di sekitar Sungai Kim Kim dan 42 buah sekolah berdekatan stabil.

24 MAC 2019

Tiga tertuduh kes pencemaran Sungai Kim Kim dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Johor Bahru.