PASIR GUDANG - Bermatlamatkan memberi pendidikan yang bermakna kepada murid berkeperluan khas (MBK) melalui aktiviti-aktiviti seperti pertandingan pakaian beragam, tarian, dekorasi, menyanyi, mewarna, inovasi dalam karnival kemahiran, kesenian dan inovasi peringkat daerah, Unit Pendidikan Khas, Sektor Pembelajaran, Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang telah mengambil langkah proaktif untuk MBK bagi mencapai aspirasi tersebut.

Penasihat Karnival Kemahiran, Kesenian dan Inovasi (KKKI), Cikgu Mohd Asnorhisham Adam berkata, program dijalankan memandangkan aktiviti kokurikulum merupakan satu landasan ke arah kecemerlangan kurikulum yang memberi peluang kepada MBK untuk mempertingkatkan potensi diri dan menonjolkan bakat.

"Melalui pengisian karnival ini juga, MBK seluruh daerah Pasir Gudang berpeluang turut serta dalam aktiviti yang dirancang sama seperti murid-murid aliran perdana.

"Antara objektif KKKI ini ialah untuk mencungkil dan mengembangkan bakat MBK dalam bidang kesenian, kemahiran dan inovasi agar dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian," katanya.

Katanya lagi, selain itu ia dapat membentuk MBK yang berdisplin dan berkewibawaan, memupuk semangat bekerjasama dan setia kawan dalam kalangan MBK, meningkatkan keyakinan diri dalam kalangan MBK dan memupuk hubungan silaturahim MBK, ibu bapa MBK, guru-guru Pendidikan Khas, Pembantu Pengurusan Murid serta masyarakat setempat/komuniti.

Karnival itu telah dianjurkan pada 11 Mac 2020 bertempat di Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Taman Megah Ria dengan kerjasama PPKI SK Taman Rinting 2, PPKI SK Taman Megah Ria dan Pertubuhan Guru Pendidikan  Khas, Pasir Gudang (PGPK).  

"Sebanyak lapan acara telah dipertandingkan antaranya solekan, dekorasi kek, pakaian beragam, mewarna, nyanyian solo, tarian zapin, gubahan buah hantaran dan inovasi. Empat acara akan mewakili daerah ke peringkat negeri dan seterusnya ke peringkat kebangasaan.

"Program pada tahun 2020 ini pihak pengajur memperkenalkan pertandingan inovasi bagi memupuk budaya inovasi dalam kalangan guru dan MBK khususnya bagi menghasilkan produk-produk pengajaran pendidikan khas dan keperluan pengurusan tingkah laku murid," jelasnya.

Surieyani

Inisiatif KKKI ini telah disempurnakan perasmian penutup oleh Timbalan PPD Pembelajaran, Sektor Pembelajaran, PPD Pasir Gudang, Surieyani Samsudin selaku wakil rasmi Pegawai Pendidkan Daerah Pasir Gudang bagi menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

KKKI ini juga mendapat sokongan tajaan dari PIBG sekolah masing-masing, pihak swasta dan individu.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Pasir Gudang, Cikgu Kuswandi Tayen berkata, KKKI ini sangat baik diteruskan dalam menyediakan MBK untuk masa depan yang lebih bermakna.

"Selain itu KKKI ini patut dijadikan acara tahunan daerah dan disebarluaskan ke peringkat serterusnya. Sokongan pelbagai pihak dalam bentuk kewangan atau kelengkapan oleh sektor korporat sangat penting dalam memastikan kelangsungan dalam melaksanakan pelbagai aktiviti MBK  berikutan kekangan dan cabaran yang dihadapi negara.

"Kejayaan dalam melaksanakan KKKI ini memberi banyak impak bukan sahaja kepada MBK malah seluruh masyarakat agar dapat bersama-sama dalam memacu generasi akan datang dalam kecemerlangan dan kegemilangan negara di persada dunia," katanya.

Turut hadir bagi memeriahkan majlis tersebut ialah ibu bapa, masyarakat setempat, guru besar, pengetua, guru penolong kanan pendidikan khas dan perdana serta penolong PPD.

Artikel menarik:

'Saya buat cara old school. Guna Whatsapp aje' - Guru lain boleh ikut cara Cikgu Ain tak pening

Guru ini buat video cara mudah 'login' Google Classroom sebagai murid.. mohon ibu bapa bantu

Patutlah ramai cikgu buat Google Classroom...rupa-rupa ini faktornya

11 nota asas Matematik yang wajib dan sepatutnya murid tahap dua kuasai

Mudahnya tanda jawapan murid di telefon, ini kaedahnya yang boleh cikgu cuba