SEGAMAT - Seramai 275 murid dan 28 guru Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Pemanis 1 telah menjayakan Konvoi Merdeka 2019 jelajah empat sekolah sekitarnya baru-baru ini.

Konvoi Merdeka itu juga turut disertai oleh wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Persatuan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) serta wakil daripada Johor Truck.

Ia adalah anjuran PIBG & PIBK SK LKTP Pemanis 1, dengan Kerjasama Panitia Sejarah, Persatuan Belia (MBFM) Felda Pemanis 01, Masjid Nurul Yakin, Johor Truck 4x4 dan Ibu Pejabat Polis (IPD) Segamat.

Murid-murid dan guru SK LKTP Pemanis 1 disambut dengan tarian singa oleh SMJK Seg Hwa.

Laungan merdeka dipimpin oleh Cikgu Dayarau Ramanaidu.

Guru besar, Helmyazizul Abdul Hamid berkata, Konvoi Merdeka yang melibatkan kenderaan sebanyak tiga buah van, 14 buah truck 4x4,  27 kereta berserta pasukan trafik IPD Segamat itu berjalan dengan lancar dengan bantuan serta kerjasama banyak pihak untuk membawa semua murid SK LKTP Pemanis 1 ke empat buah sekolah.

"Antara sekolahnya adalah SMJK Seg Hwa, SK Dato Seri Maharajalela, SK Sepinang dan SK Gelang Chinchin.

"Tujuan sebenar konvoi dibuat ialah untuk memberi pengalaman kepada murid-murid menyambut Bulan Kebangsaan di negara kita. Disamping itu, pemilihan sekolah jenis kebangsaan juga dibuat untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan murid-murid," katanya.

Katanya, pada masa yang sama, guru membawa murid Tahun Enam yang telah merdeka apabila mereka telah tamat peperiksaan UPSR pada tahun ini.

"Namun begitu, semua murid mendapat tugasan iaitu soalan yang berkaitan dengan konvoi kemerdekaan agar tidak hanya berseronok sepanjang perjalanan ke sekolah lain.

"Tetapi mereka perlu menghayati dan berfikir agar peluang yang ada untuk melawat ke empat buah sekolah bagi melihat suasana sekolah lain serta hari kebangsaan dapat diperoleh oleh semua murid," jelasnya.

Laungan kemerdekaan dipimpin oleh Cikgu Amirul Izzat Alias di SK Dato Seri Maharajalela.

 

 

Kata Helmyazizul lagi, sambutan oleh kesemua sekolah yang disinggah juga sangat meriah.  Semua murid terpengun dan terharu dengan sambutan yang sangat meriah dengan pelbagai persembahan diadakan.

"Contohnya setelah tiba di SMJK Seg Hwa, kami melihat persembahan tarian singa oleh pelajar-pelajar. Biasanya murid-murid hanya melihat tarian singa di televisyen.

"Namun kali ini, murid dapat melihat dengan lebih jelas malah boleh bergambar bersama-sama pelajar yang membuat tarian singa. Semangat perpaduan dapat dipupuk dengan kerjasama semua yang terlibat dalam Konvoi Kemerdekaan kali ini," katanya.

Perjalanan konvoi dari SK LKTP Pemanis 1 ke empat buah sekolah.

Peserta konvoi bergambar di lokasi terakhir iaitu di SK Gelang Chinchin.

 

Aktiviti yang dibuat oleh kesemua sekolah yang dilawati ialah laungan kemerdekaan sebanyak tujuh kali agar membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan murid-murid dan semua yang hadir pada hari tersebut.

ARTIKEL MENARIK:

Ini dia 60 aktiviti bermanfaat selepas UPSR

145 sekolah di Selangor tutup akibat jerebu

'Banyak kali dia minta maaf, risau jika saya tak selesa' - Cikgu ini kongsi sikap bekas muridnya