KLUANG - Kementerian Pendidikan (KPM) mempunyai prosedur operasi standard (SOP) tersendiri terhadap sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya musim banjir berterusan ketika sesi persekolahan dijalankan.

Menterinya Dr Maszlee Malik berkata pihaknya akan mengikut SOP yang tersedia itu sekiranya banjir yang melanda beberapa negeri berlarutan memandangkan sesi persekolahan baharu akan bermula dalam dua minggu lagi.

"Pihak sekolah telah mempunyai SOP tersendiri bagaimana menghadapi situasi banjir tersebut agar sesi pembelajaran tidak terganggu,” katanya kepada pemberita selepas ketika melawat PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Linau, Simpang Renggam, dekat sini, semalam.

Dalam pada itu, Maszlee turut mengadakan lawatan di beberapa lagi PPS dalam kawasan Simpang Renggam iaitu Dewan Parit Hassan, Balai Islam Kampung Parit Haji Basri pada sebelah pagi.

Pada sebelah petang pula, beliau dijangka melawat Dewan Ithnin Maarof, Balai Raya Parit Haji Hashim, Balai Raya Kampung Paya Palembang, Balai Islam Masjid Kampung Batu, SK Sri Maju Jaya, Balai Islam Kampung Jaya Sepakat, sekolah Agama (SA) Layang-Layang dan SK Seri Kampung Renggam.

Sementara itu, ketika diminta mengulas berkaitan situasi banjir di kawasannya, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu menyatakan pihaknya berpuas hati dengan kerjasama semua pihak bagi menjaga kebajikan mangsa di PPS.

Katanya, pihaknya juga akan memastikan sistem perparitan di kawasan itu yang sering terjejas banjir, akan dibersihkan termasuklah dengan isu sampah yang sering dikaitkan dengan masalah berkenaan.

"Bermula tahun hadapan, kita akan bekerjasama dengan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk memastikan sekurang-kurangnya dapat mengatasi masalah banjir ini.

"Kita juga akan pastikan sungai-sungai dan parit akan dalam kawasan Simpang Renggam ini akan dibersihkan daripada sampah agar ianya tidak tersumbat,” katanya. - Bernama

Artikel lain:

'Tak apa Alia, kalian dan Allah bersama saya..' - Cikgu Fadli disekat jumpa Alia

'Syafiqah, maafkan cikgu. Andai waktu boleh diputar... - Cikgu Koreayati luah kekesalan

Jauhi aura negatif di tempat kerja, guru ini dedah tiga tip yang boleh anda cuba...

Cikgu boleh amal tujuh tip ini untuk jadi guru yang disukai pelajar

150 guru terpilih Program Duta Guru - Selepas ini bahan PdPC lebih menariklah