PONTIAN - Kementerian Pendidikan akan berusaha sedaya upaya dalam memastikan semua murid di negara ini menerima akses kepada pendidikan berkualiti, tanpa mengira lokasi mereka tinggal atau bersekolah.

Menterinya Dr Maszlee Malik berkata perkara berkenaan penting bagi membolehkan semua murid sama ada di kawasan bandar mahu pun pedalaman berjaya dalam pelajaran, kokurikulum dan sukan.

"Saya gembira melihat anak-anak kita walaupun di kampung tetapi pencapaian mereka ada yang sampai peringkat mewakili daerah dan negeri. Ini menunjukkan di mana kita berada, kita mampu berjaya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Hari Anugerah Kecemerlangan Akademik 2019 sekolah Kebangsaan Parit Patah, di sini semalam.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu turut memuji usaha guru besar sekolah berkenaan, Zarina Sidik yang melakukan banyak perubahan dan kemenjadian murid walaupun baru setahun berkhidmat.

Beliau pada masa sama, berharap ibu bapa atau penjaga supaya sentiasa mengambil berat hal anak masing-masing agar sahsiah mereka sentiasa terpuji.

Sementara itu, ketika melawat sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tah Tong, di sini, Maszlee berkata program integrasi dan seni budaya dalam kalangan murid perlu diperluaskan di semua sekolah di negara ini bagi membentuk perpaduan.

Sewaktu lawatan itu, beliau kagum dengan persembahan kompang oleh murid di SJKC itu, sekali gus menunjukkan mereka menghargai seni budaya pelbagai kaum di negara ini.

"Kita biasa melihat tarian singa dipersembahkan oleh kumpulan pelajar Melayu dan India, tetapi di SJKC ini ada kumpulan kompang.

"Ini salah satu program integrasi budaya yang perlu diperbanyakkan di sekolah-sekolah kita lagi dalam membantu mengurangkan masalah disiplin,” katanya yang diiringi guru besar sekolah tersebut, Tan Beng Aun.

SJKC Tah Tong yang berusia 94 tahun mempunyai 393 murid dan 27 guru dengan 18 muridnya berketurunan Melayu. - Bernama

Artikel Menarik:

Cikgu boleh buat senaman ringkas untuk elak murid mengantuk...mereka pasti bertenaga selepas itu

Tip beli baju sekolah anak... khas untuk ibu bapa anak sulung tahun satu 2020

'Tak jadi marah bila tengok tulisan murid tahun enam' - Cikgu Norashikin dedah siapa pemiliknya

Selipar lusuh dikutip lalu direka menjadi mainan sendiri...idea pelajar ini tarik perhatian netizen