KULAI - Kementerian Pendidikan menyasarkan sifar keciciran berhubung kemasukan murid sekolah rendah ke sekolah menengah tahun ini.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata sasaran itu boleh dicapai kerana terdapat peningkatan peratusan dalam transisi kemasukan murid dari sekolah rendah ke sekolah menengah pada tahun lepas.

Beliau berkata pada 2019, peratusan bagi transisi kemasukan murid dari sekolah rendah ke sekolah menengah ialah 98.42 peratus berbanding 96.81 peratus pada 2018.

"Jadi pada tahun ini, kita memberi fokus terhadap perkara ini (sifar keciciran). Kalau boleh semua murid selepas tahun enam menyambung pelajaran ke sekolah menengah. Kita akan bersungguh-sungguh mencapai matlamat tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Ziarah Cakna Peringkat Kebangsaan Tahun 2020 di sini semalam.

Teo berkata Ziarah Cakna adalah program yang dijalankan serentak di 16 lokasi di seluruh negara bagi membolehkan guru menyantuni keluarga murid kurang berkemampuan dalam usaha mengenal pasti permasalahan yang dihadapi murid.

"Dengan program ziarah cakna ini, guru-guru boleh mengambil peluang untuk mendidik ibu bapa dan komuniti setempat tentang kepentingan pendidikan.

"Bayangkan impak yang dapat dicapai jika kita berjaya meyakinkan mereka (keluarga pelajar) bahawa sekolah adalah satu tempat permulaan untuk mengubah masa hadapan mereka,” katanya. - Bernama