KLUANG - Kementerian Pendidikan (KPM) akan menumpukan tiga nilai budaya bagi merangka pendidikan yang lebih holistik di samping mengembalikan minat yang tinggi terhadap bidang itu.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata tiga nilai berkenaan yang dilihat mampu terus memperkasakan bidang ini ialah rasa cinta, kegembiraan dan juga saling menghormati.

Dalam masa yang sama, beliau juga berharap agar setiap guru juga perlu sentiasa progresif dan dinamik untuk melalui proses perubahan yang berlaku sekarang ini berbanding pendidikan secara tradisional.

"Saya yakin bahawa guru-guru mampu untuk menterjemahkannya dengan menggabungkan tiga nilai berkenaan, demi melahirkan modal  insan yang terbaik, sekali gus akan dihormati di kalangan masyarakat,” katanya semalam.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Kluang di Dewan sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Renggam, di sini.

Hadir sama dalam program berkenaan ialah Anggota Parlimen Kluang, Wong Shu Qi; Pegawai Daerah Kluang, Ismail Abu; Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Azman Adnan dan Pegawai Pendidikan Daerah Kluang, Ishak Mahbob.

Menurut Maszlee lagi, pihak kementerian menganggap golongan pendidik ini sebagai wira dan harapan yang tinggi diletakkan kepada mereka untuk membangunkan modal insan yang benar-benar berbudi luhur, berakhlak mulia, berjaya dan cemerlang.  

Katanya, guru-guru juga perlu harus memiliki ciri-ciri kepimpinan yang tinggi dan berupaya membawa perubahan untuk melahirkan kemenjadian murid seperti yang dihasratkan.

"Hala tuju pendidikan pada era baharu ini adalah untuk memastikan kemenjadian murid berteraskan 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan manusiawi bagi mendepani cabaran kehidupan pada era Revolusi Industri Keempat (IR 4.0),” katanya.- Bernama