Hari pertama sesi persekolahan murid prasekolah, Tahun Satu dan Tahun Dua, di sekolah Kebangsaan (SK) (P) Sultan Ibrahim, baru-baru ini disambut meriah dengan kehadiran maskot ‘Pinkfong’.

Rata-rata murid sangat teruja melihat maskot berkenaan yang menyambut ketibaan mereka sebaik menjejakkan kaki di pintu utama sekolah, malah ada ibu bapa yang mengambil kesempatan  untuk mengambil gambar anak mereka bersama maskot musang itu.

Selain mengambil insiatif menyediakan maskot, pihak sekolah itu juga dilihat menghadiahkan buah epal kepada murid-murid yang awal tiba ke sekolah.

Ibu kepada seorang murid Tahun Satu, M. Nithiyah, 32, berkata dia menyambut baik usaha pihak sekolah meraikan murid-murid yang dilihat dapat menarik perhatian, sekali gus memeriahkan lagi suasana hari pertama persekolahan.

"Anak perempuan saya P. Thivyasree juga nampak sangat gembira dan teruja ke sekolah hari ini...persiapan juga telah dibuat awal dan anak saya memang sudah bersedia.

"Dari segi keselamatan, saya tidak risau kerana guru sudah pesan banyak kali supaya jangan lupa bawa cecair sanitasi tangan serta penutup hidung dan mulut  untuk anak-anak ke sekolah,” kata peguam itu kepada pemberita ketika ditemui di sekolah berkenaan.

Bagi Dr Mohammed Izuan Zabid, 43, pula berkata meskipun gusar tentang keselamatan anak-anak berikutan pandemik COVID-19, guru dilihat memainkan peranan dengan baik bagi memastikan segala prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

"Sudah pasti memang kita risau..tetapi lihat pagi ini guru pun sudah buat persediaan dengan  sambut murid dan ambil suhu badan. Jadi kita harap semua baik-baik sahaja,” kata bapa kepada dua pelajar Tahun Satu iaitu Nur Sarah dan Nur Suraya yang merupakan pasangan kembar.

Pengerusi Kumpulan Penggerak Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (KPIBKS) Negeri Johor, Datuk Yahya Jaafar ketika ditemui pula berkata, pihak sekolah berkenaan telah membuat persediaan melakukan kerja-kerja sanitasi di seluruh kawasan.

"Selepas kerajaan mengumumkan pembukaan sekolah bagi prasekolah, Tahun Satu dan Tahun Dua, sekolah telah bersedia dengan melakukan gotong-royong, sanitasi dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Tinjauan Bernama mendapati, selain menggunakan maskot, sekolah berkenaan turut mengambil inisiatif menyediakan pandu lalu bagi memudahkan ibu bapa menurunkan anak-anak mereka di sekolah, sekali gus mengurangkan kesesakan jalan raya.

Ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah seawal 6.45 pagi dan guru-guru juga dilihat menunggu ketibaan murid di hadapan pintu masuk sekolah bagi mengawal penjarakan fizikal, mengambil suhu badan, selain memastikan murid memasuki kelas yang betul.
 

Sumber : BERNAMA