PONTIAN - Sekali pandang, surau Sekolah Kebangsaan (SK) Pontian Besar sama sahaja seperti surau-surau lain.

Namun, di sebalik tersergamnya bangunan yang siap dibina akhir Mac lalu itu, terselit kisah yang membuatkan warga SK Pontian Besar berasa sangat terharu.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Pontian Besar, Zaiton A Hamid berkata, surau tersebut dibina hasil sumbangan orang ramai sebanyak RM190,000 yang dikutip menerusi hebahan di media sosial.

Menurutnya, pelbagai proses perlu dilalui sebelum mendapat kebenaran membuat kutipan derma bagi membina surau yang amat diperlukan oleh 348 murid sekolah tersebut.

Akuinya, dia hampir patah semangat kerana urusan memohon kebenaran perlu dibuat di Ibu Pejabat Polis (IPK) Kontinjen Johor dan Pejabat Pendidikan Negeri.

“Ibu bapa dan guru berpendapat surau adalah keperluan murid. Tambahan pula sesi petang bagi Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor menumpang SK Pontian Besar.

“Surau lama adalah kelas dan tidak dapat tampung jumlah murid yang ramai,” katanya.

Justeru itu, PIBG yang memperjuangkan isu ini mengambil langkah membuat kutipan derma sejak Jun 2018 bagi menjadikan impian memiliki surau sendiri sebagai satu kenyataan.

Zaiton mengakui, penggunaan media sosial seperti Facebook sangat membantu berbanding kutipan derma dari rumah ke rumah.

“Saya menangis bila ramai hubungi saya hendak derma selepas mengetahui tentang pembinaan surau SK Pontian Besar melalui media sosial,” katanya.

Jelasnya, wajah murid-murid ceria kerana dapat menggunakan surau itu.

“Murid-murid paling suka dapat masuk surau baru. Mereka lebih selesa solat, mengaji dan mengadakan kelas agama.

“Surau ini juga boleh digunakan penduduk kampung untuk aktiviti keagamaan,” katanya.

Jelasnya, surau tersebut masih kekurangan permaidani, penghawa dingin dan langsir.

“Kutipan derma masih dibuka dan orang ramai boleh melayari Facebook Wakaf Surau SK Pontian Besar,” katanya.Belum ada langsir, permaidani dan penghawa dingin

Kutipan derma melalui Facebook Wakaf Surau SK Pontian Besar