PdPR atau Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah telah mencetuskan gelombang baharu dalam lanskap pendidikan, era pandemik.

Sebelum ini guru-guru hanya fokus kepada Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21) yang bersifat bersemuka di sekolah.

Namun PdPR era pandemik ini telah membentuk satu jati diri dalam kalangan guru dan pelajar, untuk sama-sama merealisasikannya, agar tidak wujud generasi tersisih atau ‘lost generation’.

Menurut Pengetua SMK Seri Machap, Simpang Renggam Johor, Cikgu Tumin Yatman berkata pendemik Covid-19 adalah bersifat global.

Ia menyaksikan sistem pendidikan negara mengubah arus strategi pada masa hadapan dengan kekangan yang dirasai pada hari ini.

Nur Dania QistinaShahrul,  pelajar Tingkatan 1 SMK Seri Machap sedang mengikuti Kelas PdPR

“Masalah utama yang dihadapi adalah capaian internet serta kemampuan untuk menyediakan akses internet kepada golongan kurang berkemampuan atau golongan B40.

“Namun pembelajaran tetap diteruskan, semua guru menyahut seruan untuk melaksanakan PdPR secara dalam talian mahupun di luar talian,” katanya.

Tambah beliau, cabaran baru ini telah mendorong  para pendidik untuk mengikut perubahan teknologi dan pendekatan yang mesra pengguna bagi memastikan kelangsungan pendidikan tidak terhenti.

Katanya, pada saat inilah kerjasama semua pihak sangat diperlukan, terutamanya guru-guru, ibu bapa, dan komuniti.

“Pelbagai medium digunakan oleh para guru untuk menyampaikan bahan pembelajaran seperti Telegram,WhatSapp, Youtube, Googlemeet dan DeLIMA.

“Pelbagai reaksi diterima daripada murid dan penjaga tentang PdPR, alah bisa tegal biasa, sesuatu yang baru itu pasti ada kekurangan,  namun penambahbaikan akan terus berlaku bagi memastikan pembelajaran dapat diteruskan,” katanya.