Bagi memberi pendedahan mengenai peranan Guru Cemerlang serta teknik pengajaran dan pembelajaran inovatif, Majlis Guru Cemerlang (MGC) Johor menganjurkan Seminar Guru Cemerlang Negeri Johor 2020 pada 1 Mac lalu.

Seminar yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Southampton University Malaysia dihadiri 120 Guru Cemerlang serta guru biasa yang ingin memohon Guru Cemerlang.

Seminar yang diadakan di Southampton University Malaysia itu dirasmikan Ketua Pegawai Eksekutif, Southampton University Malaysia, Profesor Rebecca Taylor.

Wan Mohd Sidqi (dua dari kiri); Profesor Rebecca (tiga dari kiri) dan Dr Jo Han (empat dari kiri) bersama peserta Seminar Guru Cemerlang Negeri Johor 2020.

Setiausaha Majlis Guru Cemerlang Johor Bahru, Dr Nor Fadzleen Sa’don berkata, seminar dua dalam satu itu disertai 102 guru dari seluruh negeri.

"Seminar ini babitkan dua program iaitu Bengkel Permohonan Guru Cemerlang Negeri Johor dan Seminar Revolusi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Kaedah 'Creative and Playful Learning' yang menjadi titik tolak kepada perkembangan profesionalisme perguruan dan pembangunan pendidikan negara.," katanya.

Menurut beliau, kerjasama dengan Southampton University Malaysia dapat melonjakkan mutu pendidikan negeri Johor ke peringkat global dalam mendepani dunia Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Bengkel selama tiga jam bersama guru sekolah rendah dan menengah telah disampaikan oleh Penolong Pengarah Jemaah Nazir Putrajaya, Wan Mohd Sidqi Wan Mohd Ghafar.

Melalui bengkel interaktif itu, guru mendapat pendedahan mengenai laluan kerjaya Guru Cemerlang dan peserta disarankan untuk memohon Guru Cemerlang agar bilangannya dapat ditingkatkan bagi memartabatkan profesion perguruan.

Cikgu Nor Fadzleen berkata, pelbagai pertanyaan diutarakan peserta mengenai permohonan Guru Cemerlang dengan lebih berkesan.

"Sesi soal jawab yang berlangsung menjadikan seminar ini platform yang terbaik bagi membina hubungan profesional yang positif antara Jemaah Nazir dan guru sebagai pemain taruh pendidikan negara," katanya.

Dr Jo Han ketika membentangkan Revolusi Pendidikan Kaedah 'Creative and Playful Learning'.

Seminar Revolusi Pendidikan Kaedah 'Creative and Playful Learning' disampaikan Ketua Kualiti Bahagian Kualiti Akademik dan Inovasi, University of Southampton Malaysia, Profesor Madya Dr Ng Jo Han.  

Dr Jo Han turut memperkenalkan inovasi 'Escape Room' yang merupakan pendekatan inovatif dalam pendidikan global.

Sebagai perintis 'Escape Room' di universiti di Malaysia, Dr Jo Han dan pelajarnya berkongsi kepakaran dan peserta dapat merasai sendiri pengalaman menggunakan teknik itu yang terbukti berkesan menjana pembelajaran aktif dan interaktif.

Mahasiswa University Of Southampton Malaysia membuat demonstrasi 'Escape Room'.

Kaedah 'Escape Room' telah disebar luas di Amerika Syarikat (2018); United Kingdom (2018) dan India (2019) melalui Royal Society of Chemistry Audience Award.

Cikgu Nor Fadzleen berkata, pendedahan kaedah pembelajaran yang kreatif dan inovatif itu telah membuka mata peserta yang merupakan suri teladan dan fasilitator penggunaan kaedah PdP Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21).

"Guru di Johor bertuah kerana menjadi negeri pertama yang dapat mengambil bahagian dan berjaya membina satu peta 'puzzle' kecil yang boleh digunakan dalam 'Escape Room'," katanya.

Reaksi

"Penganjuran Seminar Guru Cemerlang Negeri Johor 2020 ini adalah usaha pihak Jabatan Pelajaran Negeri Johor dan Majlis Guru Cemerlang Johor bagi meningkatkan profesionalisme dan kemahiran guru ke arah yang lebih cemerlang. Selaku penganjur program, Majlis Guru Cemerlang amat komited dalam mengadakan program dan perkongsian ilmu untuk semua warga pendidik di negeri Johor dan seluruh negara.  Dengan ini, warga pendidik dapat melengkapkan diri dengan pelbagai kaedah PdP yang membolehkan pembentukan anak didik yang lebih siap siaga untuk menghadapi pelbagai cabaran I.R 4.0." - Wong Minh Chjiat Isabelle, Yang DiPertua MGC Johor Bahru

"Tahniah buat barisan MGC Johor Bahru kerana berjaya menganjurkan Seminar Guru Cemerlang Negeri Johor dengan jayanya. Penerangan tentang Permohonan Guru Cemerlang 2020 oleh Wan Mohd Sidqi sangat bermanfaat bagi calon yang baru ingin memohon dan Guru Cemerlang sedia ada. Seminar Revolusi PdP yang sangat menarik bagi mempelbagaikan teknik PAK21 untuk direalisasikan di sekolah masing-masing. Semua peserta diterangkan pelaksanaan Escape Room dengan jelas. Saya juga boleh menerapkan konsep ini di sekolah. Pastinya murid yang terlibat sangat teruja untuk melakukannya." -  M Nazoom Mohd Yusof, Yang Dipertua MGC Segamat

"Program ini merupakan program yang sangat baik. Ia banyak memberi input berguna dari segi perjawatan Guru Cemerlang. Di samping itu juga, seminar ini telah menaikkan semangat guru baharu dan lama untuk meningkatkan lagi kebolehan dalam mengajar mengikut PAK21 dan seterusnya melonjakkan lagi martabat perguruan." - Abdul Jais Abdul Rashid, Guru Cemerlang Geografi, Sekolah Menengah Sains Johor, Kluang, Johor

"Berpeluang mengikuti seminar permohonan Guru Cemerlang ini ibarat pucuk dicita ulam mendatang. Apatah lagi, taklimat permohonan Guru Cemerlang disampaikan sendiri oleh Jemaah Nazir Putrajaya. Banyak input yang diperoleh dan mampu memberi gambaran yang jelas laluan Guru Cemerlang. Bengkel 'Creative and Playful Learning' berjaya merungkai kekusutan dan memberi percambahan idea bagi merangka aktiviti yang menarik dalam PdPc. Setinggi penghargaan saya buat MGC Johor Bahru. Secara tuntasnya, seminar ini amat bermanfaat kepada semua guru khasnya buat mereka yang berminat untuk memohon Guru Cemerlang." - Azlinawatty Daraman, Guru Akademik, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Hwa, Johor Bahru

"Alhamdulillah, terima kasih diucapkan kepada MGC Johor atas penganjuran program yang sangat berjaya. Bagi saya ia perkongsian ilmu yang sangat bermanfaat dan dapat membakar semangat guru untuk terus berkhidmat dengan lebih cemerlang. Saya yakin setiap peserta pulang dengan impak dan berazam untuk bersedia jadi model insan di sekolah dan daerah masing-masing." - Azian Abd Hamid, Jurulatih Utama Matematik Daerah Segamat SK Bandar Putra, Segamat

Profesor Rebecca ketika memberi ucapan perasmian pada Seminar Guru Cemerlang Negeri Johor 2020.

Antara peserta yang menyertai Seminar Guru Cemerlang Negeri Johor 2020.

Wan Mohd Sidqi ketika memberi penerangan mengenai peranan dan laluan kerjaya Guru Cemerlang.

Wan Mohd Sidqi (kanan) menyampaikan plak penghargaan kepada Isabelle.

Wan Mohd Sidqi (duduk, tengah), Cikgu Nor Fadzleen (berdiri, tengah) bersama penganjur Seminar Guru Cemerlang Negeri Johor 2020.

Guru bersemangat untuk menjadi Guru Cemerlang.

Guru mencuba teknik 'Escape Room'.

Artikel berkaitan:

11 nota asas Matematik yang wajib dan sepatutnya murid tahap dua kuasai

SUTAMA kongsi rahsia cemerlang dan cara dari dana dengan KISAS pada lawatan penanda aras

'Hafal pecahan popular ini' - Pesanan penting cikgu Matematik untuk calon UPSR

SK Bukit Damansara tetapkan enam kriteria untuk jadi pengawas PSS

Cikgu takkan menyesal guna cara ini tarik minat murid lemah belajar