KLUANG - Penglibatan bersama komuniti dan syarikat korporat dalam sambutan Hari Guru kali ini dilihat dapat mengukuhkan ikatan muafakat semua pihak.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Johor, Aminolhuda Hassan berkata pendekatan itu dalam masa sama dapat meningkatkan rasa hormat dan menghargai golongan pendidik.

"Sebelum ini sambutan hari guru hanya diadakan di sekolah sahaja tanpa ada penglibatan daripada komuniti, dan kita lihat ia seperti program ‘syok sendiri’ apabila diraikan oleh para guru serta pelajar sahaja.

"Kali ini, dengan berkonsepkan ‘mutual respect’ antara ibu bapa, komuniti dan pihak swasta, program meraikan guru menerusi pelbagai aktiviti dilihat lebih berkesan termasuklah untuk mengungkapkan perkataan ‘terima kasih cikgu’ ini,” katanya kepada pemberita, di sini, Sabtu lalu.

Beliau ditemui selepas melancarkan program Gerakan Massa ‘Terima Kasih Cikgu’ Peringkat Negeri Johor bersempena Sambutan Hari Guru 2019 di Kluang Mall.

Turut hadir Anggota Parlimen Kluang, Wong Shu Qi; Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Azman Adnan; dan Wakil Kumpulan Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti (KPIBK) Daerah Kluang, [email protected] Sufiyan Salim.

Aminolhuda berkata program sedemikian sengaja diadakan di tempat awam bagi membuka mata masyarakat akan kepentingan menghormati dan menghargai guru, selain mahu mewujudkan pandangan positif komuniti terhadap golongan tersebut.

"Pandangan ini termasuklah seperti guru sebagai agen perubahan masyarakat, guru sebagai suri teladan dan tidak ketinggalan juga guru sebagai adiwira kepada pelajar.

"Kita berharap pada tahun-tahun yang akan datang, konsep untuk meraikan golongan pendidik ini dengan melibatkan ahli komuniti akan terus mendapat sambutan sekaligus membolehkan kita melaksanakannya setiap tahun,” katanya. - Bernama