PASIR GUDANG – Program Pintar TNB yang dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Masai 2 berjaya membantu pencapaian sekolah apabila peratus calon lulus dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini meningkat hampir 13 peratus.

Guru Besar SK Kota Masai 2, Mohd Haszam Mohd Husin berkata, sebanyak 63.77 peratus daripada 493 murid yang menduduki UPSR tahun ini lulus dalam kesemua subjek yang diambil.

Katanya, jumlah itu sekali gus melepasi sasaran peratus lulus yang ditetapkan sebanyak 53 peratus dan menunjukkan peningkatan mendadak berbanding 50.82 peratus lulus yang diperoleh pada tahun lalu.

“Peningkatan itu sedikit sebanyak hasil pelbagai program dan inisiatif yang dijalankan pihak sekolah dan kerjasama oleh pihak korporat dalam membantu mempertingkatkan tahap penguasaan murid khususnya menerusi pelaksanaan Program Pintar TNB.

“Ini merupakan pencapaian yang amat membanggakan kerana sebelum ini dalam peperiksaan percubaan UPSR kita hanya capai 33 peratus lulus dan sasaran yang ditetapkan bagi UPSR sebenar adalah sebanyak 53 peratus,” katanya.

Katanya, SK Kota Masai 2 mendapat peruntukan daripada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi Program Pintar TNB dan mereka dapat menjalankan pelbagai aktiviti bagi program pembangunan murid khususnya calon UPSR di sekolah itu.

“Di bawah Program Pintar TNB ini pelbagai aktiviti dapat diadakan untuk meningkatkan penguasaan dan pemahaman murid terhadap subjek yang dipelajari.

“Malah guru turut mengikuti kursus ke arah menepati matlamat Pembelajaran Abad Ke-21," katanya.

Mohd Haszam berkata, Program Pintar TNB itu juga membolehkan murid yang tidak mempunyai akses kepada kemudahan jalur lebar mendapatkan input tambahan menerusi perkhidmatan internet yang disediakan.

“Di sekolah ini ramai yang tidak mempunyai akses kepada internet, jadi dengan adanya program ini dapat meningkatkan pendedahan mereka bagi memanfaatkan penggunaan jalur lebar bagi mendapatkan input tambahan," katanya.

Katanya, beliau amat berbesar hati atas kerjasama semua pihak dalam membantu meningkatkan prestasi pembelajaran di sekolah berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Roslan Ab Rahman berkata, penglibatan TNB ini mencerminkan komitmen yang tinggi dalam menyokong program peningkatkan pendidikan yang merupakan salah satu daripada tonggak dalam aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) TNB.

“Bersama dengan guru, kami telah bekerja keras tanpa mengenal penat untuk meningkatkan prestasi akademik murid kurang bernasib baik di sekolah yang kami pilih di luar bandar.

“Pelbagai aktiviti telah diadakan bagi sekolah TNB Pintar seperti kem motivasi, kelas tuisyen, program kepimpinan, seminar peperiksaan dan turut menyediakan geran untuk menaik taraf kemudahan di sekolah penerima”, katanya.

Sehingga kini, 16,556 kanak-kanak di 58 sekolah rendah telah mendapat manfaat daripada penglibatan TNB dalam program Sekolah Pintar TNB.

Ibu ini akui anaknya berubah setelah ikut program di sekolah

Kebanyakan ibu bapa calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Masai 2 berpuas hati dengan pencapaian anak masing-masing dalam peperiksaan berkenaan.

Ummu Naqiibah

Ejen takaful, Ummu Naqiibah Ostadi, 30 berkata, walaupun anaknya tidak mencapai keputusan cemerlang seperti calon lain namun dia amat berpuas hati kerana anak sulungnya itu menunjukkan peningkatan memberangsangkan dan lulus dalam peperiksaan berkenaan.

"Saya puas hati dengan pencapaiannya 1B 2C 3D kerana saya nampak dia sudah berusaha bersungguh-sungguh malah dengan program yang diatur pihak sekolah dia berjaya lulus dalam peperiksaan ini berbanding ujian percubaan ada beberapa subjek yang mendapat E.

"Saya dapat lihat banyak peningkatan dalam dirinya kerana banyak aktiviti di sekolah seperti kelas tambahan, perkampungan UPSR dan  aktiviti lain pada setiap hujung minggu," katanya.

Ummu Naqiibah berkata, dia merancang mencari sekolah yang mempunyai pelbagai kemudahan sukan untuk anaknya selepas ini kerana mendapati anaknya mempunyai potensi dan kecenderungan dalam bidang sukan yang mana sebelum ini banyak mewakili sekolah dalam beberapa pertandingan sukan.


Kesempitan hidup bakar semangat pmurid ini untuk cemerlang

Keadaan bapa yang tidak sihat akibat masalah sakit tulang belakang sejak dua bulan lalu dan kepayahan keluarga membesarkannya serta dua lagi adik menjadi pemangkin buat Nur Syukrina Sulaiman, 12 untuk terus berjaya sekali gus mencapai keputusan cemerlang 6A dalam UPSR.

Anak sulung dari tiga beradik itu berkata, dia yang sebelum ini mendapat keputusan 4A 2B dalam ujian percubaan UPSR tidak menyangka mampu memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan sebenar.

Murid SK Kota Masai 2 itu berkata, menjelang peperiksaan dia banyak mengulang kaji pelajaran selain melakukan solat tahajud dan solat hajat bagi memohon agar dipermudahkan ketika menjawab soalan.


Nur Syukrina ditemani ibu, Meslina Johar, 39 dan bapa, Sulaiman Lingan, 42 serta adik bongsunya, Muhammad Khairi, 3 ketika menerima keputusan UPSR.

Selain itu, kelas tambahan dan aktiviti yang diadakan di sekolah menerusi Program Pintar TNB turut banyak membantunya meningkatkan pemahaman dan penguasaan terhadap subjek yang dipelajari.

"Saya berazam mahu mencapai cita-cita sebagai pensyarah untuk membantu keluarga dan membahagiakan kedua ibu bapa saya," katanya.

Sementara itu, Nudrah Fathiyah Md Mushaf, 12 bersyukur berjaya mencapai keputusan 5A 1B dalam UPSR tahun ini dan berharap terpi lih meneruskan pelajaran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

“Selain fokus ketika dalam kelas, saya hanya mengikut kelas tambahan yang disediakan pihak sekolah pada sebelah petang serta belajar bersama rakan pada hujung minggu.

“Cita-cita saya ingin menjadi doktor dan berharap dapat diterima masuk ke MRSM,” katanya.

Info

1. Program Pintar merupakan satu program untuk menyokong dan membantu sekolah menerusi konsep ‘Sekolah Angkat’ .

2. Program ini merupakan salah satu daripada inisiatif bawah program Transformasi GLC.

3. TNB telah menjadi penyokong Program Sekolah Pintar sejak penubuhannya pada Disember 2006.

4. Pintar merupakan singkatan daripada ‘Promoting Intelligence, Nurturing talent and Advocating Responsibility’ atau Menggalak Kecerdasan, Memupuk Bakat dan Menyokong Kebertanggungjawaban.

5. Program ini memfokuskan kepada kecemerlangan pembelajaran dalam kalangan anak daripada golongan kurang berkemampuan.