JOHOR BAHRU - Usia tidak menghalang hasrat seorang wanita warga emas di sini untuk berbakti dan menyumbang tenaga dengan menjahit pakaian perlindungan diri (PPE) bagi kegunaan petugas barisan hadapan yang bergadai nyawa ‘berperang’ menentang wabak COVID-19.

Pesara guru, Norimah Ab Karim, 64, ingin menzahirkan rasa terima kasihnya kepada para wira negara itu dengan memanfaatkan segala kemahiran dan masa lapang bagi menyediakan PPE yang amat diperlukan petugas barisan hadapan.

Norimah merupakan antara 49 sukarelawan Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) Johor yang 'terpilih' dan ditugaskan menghasilkan 2,000 set lengkap PPE terdiri daripada gaun isolasi, tudung, sarung but dan sarung kasut yang akan disumbangkan kepada petugas kesihatan di beberapa hospital yang merawat pesakit COVID-19 di negeri itu.

"Awal-awal dulu kita mula buat pelindung muka atau 'face shield' di rumah dan kali ini kita buat set lengkap di premis IKRAM bersama sukarelawan lain di bulan Ramadan, jadi sangat terasa kelainannya.

"Pada saya, bila kita sudah berjaya siapkan pakaian dalam kuantiti yang kita sasar untuk capa i,ia suatu kepuasan. Selain kita terkesan dengan pengorbanan barisan hadapan kita, saya terfikir untuk buat kelainan di bulan mulia ini untuk menambah amal ibadat," katanya ketika ditemui di pejabat Ikram di sini.

Norimah berkata hasrat itu disambut baik suami dan ahli keluarganya yang turut berbangga apabila beliau yang boleh memilih untuk berehat di rumah, sebaliknya memilih untuk membanting tenaga di luar.  

"Menjahit pakaian PPE tidak sukar mana namun memerlukan stamina, kekuatan tenaga kerana perlu duduk tegak dalam tempoh lama yang boleh menyebabkan sakit pinggang, dan bila balik ke rumah saya biasanya akan baring terlebih dahulu," kata bekas guru sekolah Menengah Islam Al-Hidayah di Kempas.

Projek penghasilan set lengkap PPE IKRAM Johor itu dijalankan bersama Yayasan Pelajaran Hidayah yang menguruskan dana sumbangan orang ramai dengan sokongan Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim Kulai.

Kesemua set lengkap PPE itu akan dihantar ke kemudahan utama yang terlibat dengan COVID-19 terutama Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di Kluang serta Hospital Permai dan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Pengurus Projek Dr Siti Kamariah Othman berkata dana yang diperoleh untuk projek kedua setakat ini sebanyak RM10,000 telah memasuki hari ketujuh dan mampu menyiapkan kira-kira 50 set lengkap PPE sehari.

Sementara itu, fasa pertama penghasilan PPE pada awal Mac lalu sebanyak 3,883 unit pelindung muka serta 4,000 keping penutup hidung dan mulut bernilai RM13,000 telah diserahkan ke beberapa kemudahan seperti Hospital Enche'Besar Hajjah Khalsom, Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Hospital Sultanah Aminah dan Penjara Kluang. - Bernama

Artikel berkaitan:

11 nota asas Matematik yang wajib dan sepatutnya murid Tahap Dua kuasai

Bina animasi guna aplikasi FlipaClip. Perkongsian menarik Cikgu Fazli BioSensei

Panduan langkah demi langkah bina Google Classroom sendiri berserta video

Hafal dalam masa sehari sepanjang rtempoh PKP,  murid pasti mahir sifir 1 hingga 12

Praktis rutin asas pendidikan digital