KULAI  - Kes dua beradik yang dijumpai orang ramai kononnya ditinggalkan bapa kandung Taman Senai Jaya, dekat sini, seperti tular di media sosial selesai, dan kedua-duanya sudah diserahkan semula kepada ibu bapa mereka kira-kira jam 2 petang, kelmarin.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kulai, Mohd Iskandar Abu Bakar berkata, dua beradik berusia 6 tahun dan 6 bulan itu, keluar dari rumah ketika bapa menghantar ibu mereka ke tempat kerja di kawasan berhampiran.

“Kanak-kanak perempuan itu mendukung adiknya selain membawa botol susu dan sehelai tuala bayi ditemui di tepi jalan kira-kira 1 kilometer dari kediaman mereka oleh orang ramai kira-kira jam 10 pagi kelmarin sebelum dibawa ke Balai Polis Senai,” katanya.

Menurut Mohd Iskandar, tular di media sosial yang mendakwa dua beradik berkenaan ditinggalkan bapa kandung mereka di kawasan itu adalah tidak benar.

“Sebaliknya bapa kanak-kanak itu keluar sebentar untuk menghantar ibu mereka ke tempat kerja di kawasan berhampiran. Ketika itu bapa saudara mereka turut berada di rumah namun tidak menyedari dua beradik itu keluar melalui pintu belakang.

“Berdasarkan siasatan yang kami jalankan, kanak-kanak perempuan itu mengakui keluar untuk membawa adiknya bersiar-siar tanpa memaklumkan kepada bapa saudaranya yang berada di tingkat atas rumah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, sejurus selesai siasatan, adik beradik itu diserahkan kepada ibu bapa mereka, masing-masing berumur 29 dan 23 tahun.

Mohd Iskandar berkata, JKM juga memberi nasihat dan penerangan kepada ibu bapa kanak-kanak terbabit selain tindakan yang dikenakan mengikut Akta Kanak-Kanak 2011, sekiranya kejadian sama berulang.