KOTA TINGGI - Majlis Agama Islam Johor (Maij) menyumbang RM97,076 kepada sekolah-sekolah dalam Dun Johor Lama meliputi bantuan pakaian dan bantuan khas awal persekolahan serta makanan sihat.

Adun Johor Lama, Asiah Md Ariff berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak RM35,651 adalah untuk bantuan pakaian pelajar miskin membabitkan 15 sekolah agama dan sekolah kebangsaan.

Menurutnya, sejumlah RM61,425 pula diperuntukkan bagi bantuan khas awal persekolahan dan makanan sihat.

“Bagi melahirkan masyarakat berilmu Maij turut memperuntukkan agihan zakat terbesar saban tahun. Tahun ini sebanyak RM24.7 juta diagihkan di seluruh Johor bagi keperluan tersebut.

“Ia merangkumi bantuan pakaian sekolah, yuran, bantuan basikal, bayaran pendaftaran di institusi pengajian tempatan, program makanan sihat dan pelbagai lagi.

“Peruntukan itu sebahagian dari agihan dikhaskan kepada asnaf yang berkaitan pendidikan dan kebajikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Jalinan Mesra Bersama Pelajar Cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) 2016, serta Penyerahan Bantuan Persekolahan 2017 Dun Johor Lama, baru-baru ini.

Asiah berkata, selain bantuan bagi melahirkan masyarakat berilmu, Maij juga memperuntukkan jumlah tertinggi bagi kategori asnaf fisabilillah sebanyak RM95 juta mulai tahun ini.

“Maij merupakan pemegang amanah dalam hal ehwal maslahat umat Islam. Kita memiliki amanah ALLAH dan bertanggungjawab di atas segala nikmat kurniaan-Nya.

“Tanggungjawab ini memerlukan kita semua menggunakan nikmat kurnia tersebut termasuk harta pemilikan yang dilestarikan sebaik mungkin.

“Sekiranya kita sedari pentingnya pengelolaan harta itu,  kita yakin ia akan memberi manfaat besar terhadap kedudukan ekonomi dan kestabilan negara," katanya lagi.

Majlis dianjurkan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim itu merupakan anjuran Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dun Johor Lama, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) dan Maij Daerah Kota Tinggi.