KLUANG - Kerjasama guru dengan penglibatan Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) di negeri ini adalah hubungan sihat antara pelbagai pihak bagi melihat kemajuan pelajar secara berterusan bukan sahaja dalam bidang akademik bahkan kokurikulum.

Exco Hal Ehwal Agama dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan berkata, Majlis Pelancaran Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu Peringkat Negeri Johor sempena sambutan Hari Guru 2019, bukti jelas kebersamaan warga pendidik dengan PIBK dan syarikat korporat.

“Sebelum ini, sambutan hari guru hanya diadakan di sekolah tanpa penglibatan komuniti.

“Kita lihat program ini seperti program ‘syok sendiri’ apabila hari bersejarah buat pendidik hanya diraikan oleh para guru serta pelajar sahaja.

“Kali ini dengan berkonsepkan 'mutual respect' antara ibu bapa, komuniti dan pihak swasta, program meraikan guru menerusi pelbagai aktiviti seperti di kompleks beli belah.

“Ia juga dilihat lebih berkesan termasuklah untuk mengungkapkan perkataan ‘terima kasih cikgu’ itu sendiri,” katanya.

Aminolhuda melepaskan konvoi Kumpulan Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti (KPIBK) yang akan bergerak ke seluruh daerah di Johor bagi meraikan golongan pendidik bersempena
Pelancaran Program Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu 2019, yang diadakan di pekarangan Kluang Mall, Kluang.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Pelancaran Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu Peringkat Negeri Johor di Pasar Raya Kluang Mall di sini, kelmarin.

Aminolhuda berkata, program sebegini juga merupakan pendekatan yang cukup baik, selain salah satu usaha memastikan hubungan erat warga pendidik dan masyarakat di negeri ini berada di atas landasan yang betul.

“Dengan adanya program seperti ini, saya percaya hubungan erat tersebut dapat direalisasikan seperti digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan kerana selain guru, terdapat wakil PIBK yang menyertainya.

“Kita berharap pada tahun yang akan datang konsep untuk meraikan golongan pendidik ini dengan melibatkan ahli komuniti akan terus mendapat sambutan sekali gus membolehkan kita melaksanakannya setiap tahun,” katanya.