MUAR - Meskipun hilang sejak lima hari, namun rakan Mohd Ashraf Hassan, 29, yang hilang selepas mendaki Bukit Putih, Gopeng yakin pemuda itu masih hidup.

Khairul Akmal Azit, 34, berkata, rakannya yang lebih mesra disapa Acap sememangnya berpengalaman luas dalam mendaki sama ada gunung mahupun bukit.

“Kami semua tahu minatnya terhadap aktiviti pendakian ini sehinggakan ada sebilangan rakan menggelarnya ‘orang gunung’. Saya yang pernah ikuti beliau mendaki mengakui kepantasan dan kecekapan Acap mengetuai aktiviti ini.

“Sebab dalam Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Muar, kami memang ada satu kumpulan mendaki yang akan dikawal AJK. Acap merupakan salah seorang daripada mereka.

"Jadi kalau terlibat aktiviti mendaki, Acap mengawal pergerakan kerana dia memang bijak buka trek baru dan cari jalan di kawasan bertanah tinggi itu,” katanya.

Khairul Akmal yang merupakan pembantu perubatan di Klinik Kesihatan Parit Bakar di sini berkata, sepanjang lima tahun mengenali Acap, juruteknologi makmal perubatan di PKD yang juga bekas pelajar SMK Sg Abong, Muar itu turut membuat persediaan rapi untuk program Sabtu lalu.

“Saya percaya kalau betul dia sesat di alam nyata, Acap pasti boleh cari jalan keluar sebab dia bukan setakat pakai baju terang, malah turut guna jam tangan dilengkapi sistem GPS.

“Saya tahu Acap kuat dan yakin dia masih hidup. Meskipun tidak dapat ke sana untuk membantu, namun kakitangan PKD Muar tak pernah putus mendoakan keselamatan Acap selain mengadakan solat hajat buatnya," katanya.

Malah katanya, Pegawai Kanan PKD Dr Noorhaida Ujang juga memberikan keizinan kepada mereka untuk pergi ke lokasi secara bergilir-gilir kerana faham kebimbangan dan harapan mereka sebagai sahabat Acap.