PASIR GUDANG - Kementerian Tenaga Sains Teknologi, Inovasi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc) mengenal pasti lapan sebatian kimia berbahaya ditemui dalam sampel air Sungai Kim Kim, di sini.

Bahan itu adalah metana, hidrogen klorida, acrylonitrile, acrolein, benzene,  toulene, xylene dan limonene.

Menterinya, Yeo Bee Ying berkata, semua sebatian itu ditemui selepas Jabatan Kimia menganalisis secara lebih terperinci sampel air Sungai Kim Kim, khususnya di kawasan sisa kimia berbahaya itu dibuang.

“Setakat ini, lapan sudah dikenal pasti dan kita masih lagi tunggu ujian selanjutnya. 

“Limonene digunakan dalam proses penguraian tayar kitar semula dan ada juga sisa yang digunakan sebagai pelarut organik,” katanya selepas taklimat bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS, di sini, semalam.

Bee Yin berkata, JAS akan melakukan pemeriksaan terhadap 252 kilang memproses bahan kimia di sekitar  Pasir Gudang.

“Kita akan gerakkan seluruh kekuatan di peringkat nasional bagi memeriksa semua kilang itu bagi pastikan kejadian ini tidak berulang lagi," katanya.