MUAR - Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) Muar, lancar sistem Merit Demerit 2020 pada 9 Januari lalu.

Menurut Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Ustazah Wasimah Samnu (PK HEM), penilaian sistem tersebut dibuat atas faktor amalan baik dan salah laku murid.

Katanya, mulai 9 Januari setiap amalan baik murid akan sentiasa diperhatikan dan direkodkan begitu juga sebaliknya sepanjang tahun.

Murid yang mempunyai rekod merit tertinggi akan menerima hadiah basikal tajaan Guru Besar, Ustaz Mohd Sanusi Rahiman dan YDP PIBG, Ais Md Sulbidin.

Setiap amalan itu akan direkodkan dan diberikan markah. Ia secara tidak langsung membantu memudahkan guru kelas merekod data dalam sistem Sahsiah Diri Murid ( SSDM ) dengan lebih berkesan.

Semua guru, termasuk guru kelas boleh mengakses kad merit demerit yang diletakkan di tempat khas bagi tujuan merekod markah amalan baik dan salah laku murid.

Gimik ‘Jom Hadir Awal’ ke sekolah oleh murid tahun dua, Muhammad Faris Audah Mohd Adham

“Antara lain, objektif sistem ini adalah untuk meningkatkan peratus kehadiran murid dari 97.1% (sepanjang tahun 2019) kepada 100% untuk tahun 2020. Selain meningkatkan kecemerlangan disiplin dan melahirkan murid yang berakhlak terpuji,”katanya kepada GPS Bestari.

Majlis pelancaran Sistem Merit Demerit 2020, Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) Muar, dilancarkan oleh Yang Dipertua PIBG SRAB Muar, Ais Md Sulbidin.

Tambah beliau, idea merit demerit ini lahir daripada Guru Disiplin, Cikgu Adnarina Thazali yang melihat sikap sesetengah murid kurang prihatin terhadap kebersihan persekitaran dan kurang peka terhadap peraturan sekolah.

Murid Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) Muar sedang mendengar taklimat daripada Guru Besar, Ustaz Mohd Sanusi Rahiman

Sementara itu, Guru Besar, Ustaz Mohd Sanusi Rahiman  dalam ucapannya berkata, hadiah basikal model Gomax akan dihadiahkan kepada murid yang mencatat rekod merit tertinggi.

Selain beberapa hadiah lain seperti set catur dan kereta kawalan jauh beserta sijil anugerah.

Tambah beliau, hadiah tersebut akan disampaikan pada hujung tahun dalam Majlis Aspresiasi Kecemerlangan Murid Tahun 2020.

“Sistem merit demerit merupakan kali pertama dilaksanakan di sekolah ini. Hadiah tersebut sebagai satu semangat kepada semua murid agar sentiasa berusaha melakukan amalan terbaik dan peka dengan peraturan sekolah,”katanya.

Hadiah basikal tersebut dibiayai oleh Guru Besar, Ustaz Mohd Sanusi Rahiman dan YDP PIBG, Ais Md Sulbidin. Sementara hadiah-hadiah lain ditaja oleh ibu bapa menerusi sumbangan PIBG.

Dalam masa sama, Guru Pengawas, Cikgu Nor Azlah Kamisan dan Ustaz Dalman Dasiron turut berkongsi, kebanyakan murid mula menunjukkan perubahan sikap selepas pelancaran sistem merit demerit.

Murid mula menunjukkan minat untuk membuat kebaikan, seperti menawarkan diri membantu guru mengangkat buku dan bahan-bahan pdpc, juga mengutip sampah.

Artikel Menarik:

Cikgu boleh semak kesihatan mental di sini…

Aktiviti ringkas dan permainan yang boleh guru buat ketika dalam kelas - Confirm murid tak mengantuk

10 Petua jadi cemerlang, yang perlu murid ambil tahu

Cikgu boleh amal tujuh tip ini jika mahu jadi guru cemerlang. Pelajar pasti tak ponteng kelas lagi