TANGKAK - Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rahmat, Tangkak, Johor mengambil peluang membudayakan perhimpunan norma baharu sejajar dengan usaha kerajaan dalam menggalakkan penggunaan teknologi dalam bidang pendidikan sekali gus membantu mengekang penularan virus Covid-19 di sekolah.

Guru Besar SK Bukit Rahmat, Muhammad Hafifi Radzuwan berkata, pelaksanaan perhimpunan norma baharu itu dibuat di studio mini sekolah berkenaan yang seterusnya disiarkan melalui televisyen yang terdapat di setiap kelas di sekolah itu.

Idea untuk melaksanakan perhimpunan norma baharu ini timbul apabila guru dan pentadbir sependapat untuk memanfaatkan projek Satu Kelas Satu TV yang dibuat pada tahun lalu dengan memperluaskan lagi penggunaannya dalam pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc).

"Sebenarnya perhimpunan norma baharu ini sudah mula dilaksanakan pada sesi persekolahan tahun lalu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tetapi hanya melalui audio iaitu menggunakan interkom manakala setiap kelas pula dilengkapi dengan satu speaker.

"Projek Satu Kelas Satu TV itu dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah ini yang memainkan peranan mendapatkan sumbangan dana daripada beberapa pihak sehinggalah berjaya membeli 10 televisyen untuk kesemua kelas bermula dari Tahun 1 hingga 6 malah termasuk juga kelas prasekolah dan pendidikan khas," katanya ketika dihubungi GPS Bestari.

Studio mini yang digunakan untuk perhimpunan norma baharu di SK Bukit Rahmat.

SK Bukit Rahmat adalah sekolah luar bandar yang mempunyai enam kelas saja merangkumi murid Tahun 1 hingga 6 dengan bilangan murid seramai 175 orang, 18 tenaga pengajar dan dibantu empat kakitangan.

Menurut Muhammad Hafifi lagi, perhimpunan norma baharu itu juga dapat dilakukan selepas sekolah mula meluaskan capaian internet ke setiap kelas hasil kerjasama pihak sekolah, PIBG dan Unit Sumber Teknologi Pendidikan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tangkak.

"Kemudahan internet itu membolehkan semua murid-murid dapat menonton perhimpunan norma baharu yang disiarkan di televisyen di kelas masing-masing. Setakat hari ini, kita sudah melaksanakan dua kali perhimpunan norma baharu iaitu pada hari pertama sesi persekolahan iaitu 1 Mac lepas dan perhimpunan kokurikulum serta pelantikan pengawas pada 8 Mac lalu.

"Setakat ini, kesemua warga sekolah termasuk murid-murid dan guru-guru memberikan reaksi positif terhadap pelaksanaan perhimpunan norma baharu ini malah pihak sekolah juga akan menambahbaik sebarang masalah teknikal yang timbul di semasa ke semasa," katanya.

Artikel menarik

Politeknik Merlimau laksana pendaftaran pelajar guna kaedah drive thru

Guru SK Lukut sanggup berhabis ribuan ringgit beli peralatan ICT untuk sesi PdPc