KOTA TINGGI - Sekolah Kebangsaan (SK) Laksamana dipilih mewakili Johor ke Pertandingan Anugerah Amalan Perkhidmatan Kantin Terbaik 2019 peringkat kebangsaan, tidak lama lagi.

Pertandingan dianjurkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bersama Farm Fresh Milk Sdn Bhd melalui School Attack Farm to School, bersempena Anugerah Amalan Perkhidmatan Kantin Terbaik 2019.

Guru Besar, Bibi Sakinah Haron Khan berkata, pihak sekolah telah merancang pelbagai program sempena Pertandingan Anugerah Amalan Perkhidmatan Kantin Terbaik 2019.

"Program yang dirancang untuk pertandingan ini akan meningkatkan pemahaman dan memupuk amalan 3K iaitu, kebersihan, kesihatan dan keselamatan dalam kalangan murid," katanya.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah Selamat Pagi Sayang Hadir Ceria dengan Minum Farm Fresh; Program Read and Rest (RNR) dan Pelancaran La’ Cuisine Café Pertandingan Chef Cilik Hidangan Masakan dan Minuman berasaskan Susu Farm Fresh.

“Kami juga akan adakan program Shuffle Farm Fresh; Amalan Terbaik 3K La’ Cuisine Café; Jelajah Farm Fresh; Susu Farm Fresh Menyegarkan Menjadi Pilihan K Voice dan Kuiz Susu Farm Fresh,” katanya.

Selain murid SK Laksamana, ibu bapa dan komuniti juga turut menjayakan program berkenaan.

“Antara yang turut menyertai ialah Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi; Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi; Adun Johor Lama, Rosleli Jahari; Pejabat Penerangan Negeri Johor; Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi, Jabatan Perkhidmatan Awam Kota Tinggi dan Bank Simpanan Nasional.

“Tidak ketinggalan, kami juga mendapat bimbingan, sokongan dan galakan daripada Penolong PPD Kokurikulum, Kota Tinggi, Hasrin Ab. Samad,” ujarnya.

Program K Voice yang dihadiri Hasrin (berdiri, dua dari kiri), Bibi Sakinah (tiga dari kiri), Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Noryati Yunos (kiri) bersama murid di dewan sekolah.

Menurut Bibi Sakinah, kesemua program yang diadakan itu banyak manfaatnya dan menjurus kepada elemen budaya yang diilhamkan oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik iaitu kegembiraan, kasih sayang dan saling hormat menghormati.

“Apa yang saya lihat, potensi kendiri dan kemahiran berkomunikasi murid dapat dipertingkatkan dengan aktiviti yang dijalankan.

“Murid juga dapat membantu diri sendiri, rakan dan anggota keluarga ke arah mengamalkan cara hidup yang sihat selain melahirkan insan yang bersifat dinamik dan menjana pemikiran secara kritis serta inovatif,” katanya.

Murid dari beberapa unit beruniform sekolah turut menyertai Pertandingan Chef Cilik.

Sesi penyerahan Sijil Penarafan Kualiti Kantin daripada Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Mohd Hanif Yusof (dua kiri) kepada pengusaha kantin, Seharni Asmuni (dua kanan). Turut serta, Noryati (kiri), Pegawai Kesihatan Persekitaran, Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan, Pejabat Kesihatan Kota Tinggi, Shoba a/p Manyam (kanan) dan Bibi Sakinah (tiga kanan).