PAGOH - Bekas guru yang pernah mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Liang Batu, Lenga, di sini, diraikan dalam satu majlis Sepanjang Jalan Kenangan bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka sepanjang bergelar pendidik.

Guru Besar SK Liang Batu, Mohaini Arifin berkata, pihaknya berjaya menghimpunkan seramai sembilan bekas guru yang mempunyai tempoh perkhidmatan berbeza.

Menurutnya, program itu pertama kali dianjurkan pihak sekolah dengan melibatkan semua kakitangan yang pernah berkhidmat di SK Liang Batu.

“Tujuannya adalah untuk mengangkat semula golongan ini yang pernah berusaha keras mendidik murid sehingga SK Liang Batu mampu mengekalkan tahap kecemerlangannya termasuk keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR),” katanya.

Mohaini ketika menyampaikan ucapan dalam program Sepanjang Jalan Kenangan.

Mohaini berkata, banyak pencapaian diraih SK Liang Batu sama ada dalam bidang akademik mahupun kokurikulum sehingga mendapat kedudukan sekolah kebangsaan ketiga terbaik dalam daerah pada UPSR lalu selain berjaya mengekalkan tahap lulus 100 peratus sejak dari dahulu.

Katanya, semua pencapaian itu adalah hasil bantuan dan jasa pendidik meskipun berdepan cabaran berikutan kedudukan sekolah yang agak pedalaman.

“Maka majlis sempena Hari Guru ini adalah untuk mengenang kembali kepayahan mereka yang cukup besar meskipun masing-masing sudah bersara daripada dunia pendidikan,” katanya.

Beliau berharap program itu dapat diteruskan pada masa akan datang dengan melibatkan lebih ramai bekas guru.

Majlis turut dihadiri guru paling lama berkhidmat iaitu Marhamin Atmo, Datuk Tahir Mohd Taat dan Salihin Surat.

Mohaini (kanan) bersama bekas guru SK Liang Batu, Pagoh.

Murid SK Liang Batu, Pagoh mengadakan persembahan mengalukan kedatangan bekas guru yang pernah berkhdimat di sekolah itu.