Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Indah (SKTBI), Bandar Iskandar Puteri, Johor cipta sejarah apabila  memenangi gelaran “Sekolah Impak Terbesar Tahun 2019-2020” bagi Sekolah Bestari Microsoft (Microsoft Showcase Schools) sebelum ini.

Anugerah tersebut  mengiktiraf usaha sekolah tersebut mendigitalkan pendidikan dan kesan luar biasanya terhadap masyarakat sekitar.

SKTBI adalah salah satu daripada tiga sekolah di peringkat global dan satu-satunya di Asia untuk menerima Anugerah tersebut, daripada 325 buah sekolah dari 58 negara yang merupakan sebahagian daripada program Sekolah Bestari Microsoft. Pemenang anugerah lain termasuk Treorchy Comprehensive School di United Kingdom dan Gray Middle School - Tacoma Public School di Amerika Syarikat.

Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Maznah Abu Bakar berkata, komuniti pendidikan Malaysia, menyanjung tinggi dan memuji SKTBI atas kemenangan mereka itu.

Dedikasi mereka bukan sahaja dalam usaha mengguna pakai teknologi, tetapi juga melatih masyarakat sekitar dengan kemahiran digital, yang nyata memperlihatkan aspirasi kita untuk mencapai matlamat pendigitalan.

Transformasi tersebut bukan sahaja merangkumi penggunaan, tetapi juga melibatkan perubahan ketetapan minda dalam kalangan guru, murid dan juga ibu bapa.

“SKTBI telah membuktikan bahawa adalah tidak mustahil, walaupun dalam suasana mencabar seperti sekarang, untuk menempa kejayaan dan terus menyokong pendidikan menerusi penggunaan teknologi yang inovatif di bilik darjah,”katanya.

SKTBI merupakan sekolah pertama di Malaysia yang mendapat akreditasi pakar Pendidik Inovatif Microsoft (Microsoft Innovative Educator, MIE) untuk semua gurunya. Pentauliahan ini merupakan pengiktirafan global terhadap komitmen guru-guru untuk menerapkan teknologi ke dalam pengajaran dan pembelajaran.

Guru Besar SKTBI, Encik Rasman Abdul Karim,  berkata, beliau amat berbangga menerima anugerah tersebut daripada Microsoft.

Guru-guru  telah memainkan peranan aktif mengguna pakai teknologi dalam pendidikan sebelum Covid-19 lagi.

“Persediaan awal tersebut telah membolehkan kami beralih kepada pembelajaran jarak jauh lebih pantas daripada biasa, selain memberikan kami masa secukupnya untuk mempersiapkan guru-guru dan juga ibu bapa pelajar, yang memainkan peranan sama penting untuk membolehkan pelaksanaan pendidikan digital.

“Kami berharap proses transformasi kami akan menjadi pendorong kepada sekolah-sekolah lain di seluruh Malaysia untuk terus memanfaatkan teknologi bagi menambah baik sistem pendidikan sambil kita menuju ke arah masa depan digital.” ujarnya.

Usaha gigih SKTBI dapat dilihat daripada hasil pembelajaran lebih baik dan tumpuan lebih besar terhadap kemahiran yang sedia untuk kerjaya masa depan.

Tambahan lagi, dedikasi mereka untuk mencapai transformasi pendidikan telah membolehkan mereka membantu guru-guru dan sekolah-sekolah lain di Malaysia untuk menguruskan peralihan dengan lebih baik kepada kaedah pembelajaran jarak jauh dan hibrid semasa krisis Covid-19 yang sedang melanda.

Kepakaran mereka untuk memanfaatkan teknologi dalam pendidikan juga membolehkan aktiviti kokurikulum diteruskan, walaupun semasa perintah kawalan pergerakan di seluruh negara.

Sebelum pandemik Covid-19 lagi, SKTBI telah mula menganjurkan sesi digital selepas sekolah pada hujung minggu, yang dirangka khas bagi ibu bapa mendapatkan pendedahan kepada platform yang digunakan dan kemahiran yang perlu dimiliki mereka untuk menambah baik pengalaman pembelajaran digital anak masing-masing.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan, SKTBI telah bergabung tenaga dengan Digital Classroom untuk terus menjalankan sesi latihan jarak jauh untuk melengkapkan guru-guru lain di seluruh negara dengan kemahiran untuk memanfaatkan teknologi dalam pendidikan.

Sejak itu, sekolah ini telah mengadakan berpuluh webinar, termasuk sesi perkongsian antarabangsa yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Korea Selatan, di mana SKTBI diberi peluang untuk berkongsi amalan terbaik mereka dengan lebih 60 sekolah dari Filipina dan Indonesia.

Pada tahun ini, SKTBI merancang untuk terus berkongsi ilmu dan kepakaran dengan 45 sekolah di Iskandar Puteri. Mereka bercadang untuk melatih lebih daripada 90 guru dan 900 pelajar, menjadikan mereka kumpulan teras di sekolah untuk terus menyebarkan ilmu dan menggalakkan pendigitalan dalam kalangan komuniti pendidikan.

“Kami terharu untuk melihat para pendidik negara kita merintis dan mencipta kejayaan menerusi teknologi.  

“Pendekatan berasaskan usaha sama SKTBI terhadap pendigitalan dan dedikasi mereka untuk melengkapkan setiap insan dalam masyarakat dengan kemahiran yang perlu untuk membolehkan pembelajaran diteruskan, walaupun dalam keadaan pandemik, perlu diiktiraf dan dipuji.

“Kami akan terus berganding bahu dengan SKTBI dan komuniti pendidikan Malaysia secara keseluruhannya sambil kita memasuki tahun baharu. Kami juga ingin menjemput lebih banyak sekolah untuk bekerjasama dengan kami dan menjadi sebahagian daripada program Sekolah Bestari Microsoft, bagi membolehkan kami terus menyokong mereka dalam usaha bersama mencorakkan masa depan pendidikan.” kata Pengarah Urusan, Microsoft Malaysia, K. Raman.

Pada tahun lepas, SKTBI mempunyai hampir 700 murid serta 50 orang guru dan kakitangan. SKTBI adalah satu daripada lima Sekolah Bestari Microsoft di Malaysia.

Sekolah-sekolah lain di Malaysia yang telah menyertai program ini termasuk SK Taman Senangan di Pulau Pinang, SMK Kubang Kerian di Kelantan, SMK Kuala Perlis di Perlis dan SK Bandar Hilir di Melaka.