SIMPANG RENGGAM - Guru perlu bersedia untuk melakukan pembaharuan melalui strategi dalam pendidikan secara optimum dan berterusan.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, strategi yang terbukti berjaya pada masa lampau tidak semestinya berkesan untuk masa kini dan masa hadapan.

Sebaliknya, guru Kementerian Pendidikan (KPM) juga mestilah sentiasa dinamik dan progresif untuk melalui proses perubahan dan pembaharuan seiring dengan peredaran zaman.

“Dalam merangka pendidikan holistik, KPM memberikan penekanan khusus kepada hala tuju mengembalikan cinta ke dalam pendidikan dengan memberi tumpuan kepada tiga nilai dan budaya teras iaitu cinta, kegembiraan dan saling menghormati.

“Saya yakin bahawa guru mampu untuk menterjemahkannya dalam pembelajaran demi melahirkan insan yang mencintai satu sama lain, mencintai masyarakat dan akhirnya mencintai negara,” katanya berucap merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Kluang di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Renggam di sini, semalam.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, beliau yakin guru adalah adiwira yang memikul tanggungjawab untuk membangunkan modal insan yang benar-benar berbudi luhur, berakhlak mulia, berjaya dan cemerlang.

“Dalam konteks untuk merealisasikan perubahan ke arah membina dan membangunkan modal insan yang gemilang, seseorang pendidik itu seharusnya kaya ilmu, segar dan subur ciri kependidikannya.

“Malah, guru juga perlu harus memiliki ciri kepimpinan yang berupaya membawa perubahan untuk melahirkan kemenjadian murid seperti yang dihasratkan dan sebab itu guru merupakan adiwira yang sebenar,” katanya.