PONTIAN - Kisah Mohd Syukri Johan, 10, yang menderita kanser mata mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Pasaraya Econsave melan­carkan tabung derma seba­gai usaha membantu meri­ngankan beban.

Pengurusnya, Mas Imran Adam berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu Mohd Syukri yang merupakan anak nelayan di Kampung Tanjung Piai, selepas menziarah dan menyampaikan sumbangan pada Januari lalu.

Katanya, kanak-kanak itu cukup ceria sewaktu di ziarah biarpun keadaan kesihatannya kurang baik ketika itu.

“Sumbangan barangan keperluan harian dan makanan sebanyak RM1,000 diberikan kepada Syukri ketika saya melawatnya.

“Susu formula khas turut diberikan. Ibunya memberitahu, Syukri bergantung kepada susu sebagai makanan tambahan kerana anaknya itu tidak berselera makan,” katanya.

Justeru, beliau berharap dengan adanya tabung itu kelak, orang ramai dapat membantu Syukri dan sekali gus meringankan bebannya yang memerlukan rawatan dan pembedahan mata.

 “Tabung ini akan diletakkan di pasaraya Econsave Pontian. Kita berharap orang ramai akan berikan sokongan dan membantu Syukri,” katanya.

Pada 28 Januari lalu, pembedahan yang sepatutnya dilakukan ke atas  Mohd Syukri ditangguhkan.

Samsiah Sarip, 48, berkata, anaknya itu berkemungkinan besar menjalani pembedahan baharu pada April depan di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur.

Samsiah yang tidak menahan kesedihan berkata, dia tidak sanggup melihat penderitaan ditanggung anak bongsu dari dua beradik itu dan berharap pembedahan tidak ditangguhkan lagi selepas ini.

Jelasnya, hidung anaknya sudah mula mengeluarkan cecair seperti lendir apabila mengalami kesakitan yang amat teruk.

“Keadaan Syukri sekarang bertambah teruk. Hidungnya sudah tidak dapat menampung air sehingga mengeluarkan lendir apabila terlalu sakit.

“Syukri perlu bergantung ubat untuk mengurangkan rasa sakit yang dialaminya itu. Kadang-kala sampai meraung dia menahan kesakitan,” katanya.

Samsiah dan suaminya Johan Zainal, 60, berharap Mohd Syukri diberi kekuatan untuk melawan penyakitnya itu sementara menunggu pembedahan dijalankan ke atasnya.