KOTA TINGGI - Seramai 200 ahli pengakap dari daerah Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai, Segamat dan Mersing menyertai Festival Hobi Pengakap Kanak-Kanak dan Pengakap Muda Peringkat Negeri 2018 yang diadakan di RAF Point baru-baru ini.

Festival Hobi itu dianjurkan Pasukan Pengakap Sekolah Kebangsaan Bukit Lintang (SKBL) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi, Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Johor dan Persekutuan Pengakap Daerah Kota Tinggi.

Program hasil cetusan idea Guru Besar SKBL, Samsiah Hussien turut disokong sepenuhnya Ya’acob Ab. Karim selaku Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Johor, Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Johor.

Samsiah berkata, festival tersebut merupakan kolaborasi RAF Point dan pengakap SKBL di mana objektifnya adalah untuk memberi pengiktirafan sijil hobi kepada ahli pengakap di samping mereka berpeluang mendapat penyertaan sijil peringkat negeri.

“Melalui festival ini dapat melatih ahli-ahli pengakap berilmu dan mempunyai hobi yang tersendiri seiring dengan aktiviti-aktiviti kepengakapan.

“Malah dengan penyertaan dalam festival ini kita yakin peserta akan dapat menunjukkan kemahiran dan memiliki keyakinan diri serta semangat berkumpulan. Apa lebih penting dapat membentuk sahsiah ahli pengakap ke arah seorang yang berilmu, berkemahiran dan bertanggungjawab.

“Melalui festival ini juga kita mahu melahirkan pelajar-pelajar yang berdisiplin dan menerapkan nilai ‘buat habis baik’ dalam diri semua ahli pengakap,” katanya.

Antara aktiviti lasak yang disertai peserta.

 

Terdahulu, majlis penutup disempurnakan Pegawai Pendidikan Daerah Kota Tinggi, Mohamad Fadil Ishak.

Sempena festival itu semua peserta turut berdepan perujian dengan mempamerkan bahan koleksi serta dikuti dengan sesi pembentangan setiap ahli kumpulan.

Selain itu, turut diadakan aktiviti lasak seperti abseiling, tree climbing dan zipline diadakan pada sesi petang yang diurus oleh Ir Ahmad Fadhil Udin selaku Pengurus RAF Point bersama jurulatih-jurulatih beliau.

Dalam pada itu, Samsiah  mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan festival itu termasuklah penggerak utama iaitu Rizal Abdullah selaku Pesuruhjaya Pengakap Daerah Kota Tinggi dan juga sebagai penasihat utama Festival Hobi.

Turut diberikan penghargaan adalah Pengarah Festival Hobi, Haryati Ahmad Termizi juga merupakan Penolong Pesuruhjaya Daerah Kota Tinggi yang merangka aktiviti memenuhi standard perujian lencana hobi pengakap kanak-kanak dan pengakap muda.

Katanya, tidak dilupakan mereka yang menyumbang tenaga dalam festival itu iaitu kumpulan sokongan ibu bapa Awesome Team serta Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) SKBL, Jumat Aman.

 

Antara guru yang menjayakan festival tersebut.