JOHOR BAHRU - Tiga sekolah di Segamat terpaksa ditutup kerana dinaiki air akibat banjir yang berlarutan sejak petang, kelmarin.

Manakala 11 sekolah di daerah sama yang ditutup kelmarin kembali dibuka kerana laluan yang terputus untuk ke sekolah berkenaan sudah boleh dilalui.

Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Shaharudin Sharif berkata, ketiga-tiga sekolah yang ditutup membabitkan 334 pelajar dan 39 guru.

“Tiga sekolah yang terpaksa ditutup ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tengah, SK Segamat Kecil dan SK Pogoh kerana ditenggelami air.

“Selain itu, sebuah sekolah yang masih terputus hubungan iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kampung Tengah, tetap dibuka kerana tidak terjejas teruk akibat banjir,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Selain itu, katanya, SK Seri Makmur di daerah Tangkak juga ditutup kerana turut dinaiki air.

Shaharudin berkata, arahan penutupan sementara itu dibuat bagi menjaga keselamatan pelajar dan kakitangan sekolah selain mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku ketika banjir.