PONTIAN - Usianya menginjak 69 tahun, namun tokoh guru Sekolah Agama Kerajaan Johor ini tidak pernah jemu mahupun letih untuk terus menyampaikan ilmu dalam bidang agama.

Bagi Muntaha Tuah, tiada istilah bersara dalam hidupnya kerana tanggungjawab membimbing masyarakat dengan ilmu yang dimiliki cukup besar.

Selagi masih bernyawa, beliau akan terus memberi sumbangan dengan menyebarkan ilmu melalui kelas-kelas agama, kelas saudara baharu, kelas kursus pra perkahwinan dan sebagainya.

Tidak hairanlah beliau masih dijemput untuk memberi ceramah agama di pentas-pentas sewaktu sambutan Maulidur Rasul.

Muntaha yang bersara pada 2006 selepas 36 tahun mencurah bakti sebagai guru dan Pegawai Pendidikan Islam Daerah, terus aktif menyumbang tenaga apabila dilantik sebagai Pegawai Penyelaras Masjid dan Surau bagi 92 masjid dan 190 surau di daerah Pontian.

“Menjadi seorang guru sekolah agama, merupakan cita-cita saya sejak kecil lagi. Berkat kesungguhan akhir impian tersebut dicapai di samping doa restu kedua ibu bapa saya.

“Syukur, walaupun telah bersara, saya masih diberi kepercayaan untuk  membimbing anggota masyarakat apabila dilantik menjadi jurunikah, penceramah khas kursus pra perkahwinan dan pembimbing haji serta umrah,” katanya.

 Bapa kepada empat orang cahaya mata ini, turut berkongsi kenangan manis sebagai guru dan Pegawai Pendidikan Islam Daerah.

“Saya bersyukur diberikan peluang bertukar-tukar tempat mengajar sejak mula berkhidmat pada tahun 1970. Saya mengajar di Sekolah Agama (SA) Sri Bunian, SA Pekan Sanglang, SA Sungai Durian.

“Kemudian dilantik menjadi guru besar di SA Bandar Pontian dan SA Kayu Ara Pasong,” katanya.

Katanya, dia juga pernah menyandang johan Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Johor pada 2005.

Muntaha berkata, sewaktu menjawat jawatan Pegawai Pendidikan Islam Daerah, beliau sentiasa mesra dengan guru dan kakitangan, selain aktif menyertai acara perbarisan yang diadakan sempena hari kemerdekaan.

“Tidak dapat dilupakan pada 2005, saya bersama guru-guru dan kakitangan memakai baju angkasawan bagi acara perbarisan jabatan kerajaan dan swasta peringkat negeri di Muar.

“Memang panas ketika itu, tetapi dalam masa yang sama kami seronok kerana diumumkan sebagai pemenang acara perbarisan ketika itu,” katanya.

Beliau turut berkongsi sebuah hadis mengenai kepentingan ilmu, iaitu 'sekiranya kamu ada ilmu hendaklah disampaikan, sekiranya kamu tiada ilmu hendaklah belajar, sekiranya tidak boleh belajar maka dengarlah, tetapi jika kamu tidak buat ketiga-ketiganya, akan jatuh kebinasaan',” katanya.

Muntaha mengakhiri perbualan dengan cita-citanya yang mahu menjadi pendakwah sehingga ke akhir hayat.