Bagi memupuk minat murid dan membolehkan mereka memahami topik pembelajaran Sejarah dengan lebih menyeronokkan mendorong Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih, Johor Bahru menyediakan galeri sejarah dengan berkonsepkan muzium mini.

Ketua Panitia Sejarah sekolah itu, Cikgu Elizawaty Ramlee berkata, konsep ditampilkan adalah mesra guru dan murid, di samping platform untuk murid menunjukkan bakat serta hasil kreativiti mereka.

“Objektif utama kami mewujudkan galeri ini adalah untuk membantu memudahkan PdPc (Pengajaran dan Pemudahcaraan) guru-guru Sejarah kerana mereka boleh menunjukkan bahan atau barang maujud berkaitan tajuk kepada murid seterusnya membantu menarik minat mereka memahami tajuk yang dipelajari.

“Galeri ini boleh digunakan kepada sesiapa sahaja dan tidak terhad kepada subjek Sejarah semata-mata, sebagai contoh subjek Bahasa Melayu, banyak contoh-contoh maujud boleh ditunjukkan kepada murid untuk meningkatkan pemahaman mereka, malah murid berpeluang untuk merujuk terus bahan atau barang berkaitan tajuk di sudut-sudut yang berbeza di dalam galeri ini,” katanya ketika dihubungi GPS Bestari.

Tambah Cikgu Elizawaty, galeri Sejarah berkenaan memiliki keistimewaan tersendiri termasuk penyediaan ruang atau sudut pameran yang berbeza-beza mengikut tema silibus Sejarah sekolah rendah bagi Tahun 4, 5 dan 6.

“Galeri ini juga memudahkan guru memberi penerangan kepada murid dan mereka dapat mencari maklumat dengan mudah. Contohnya ada sudut peralatan muzik, pakaian tradisional dan perhiasan diri, sudut ekonomi tradisional iaitu perikanan dan pertanian, peralatan memasak tradisional serta permainan tradisonal.

“Selain itu, terdapat juga pelbagai koleksi tembaga, koleksi lampu / pelita zaman dahulu dan barang antik lain yang mungkin susah ditemui tetapi ada di Galeri Sejarah ini, iaitu peti duit (zaman British), peti pakaian, teko dari China berserta bakul pemanas, sudu tembaga dan yang paling istimewa ialah kati timbang emas,” katanya.

Berkongsi lebih lanjut, Cikgu Elizawaty menjelaskan tempoh masa untuk menyiapkan galeri tersebut adalah kira-kira empat bulan bermula November 2018 hingga Mac 2019, manakala perasmiannya disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Warisan Johor, Drs Kamarudin Ab Razak.

 

Tambah beliau lagi, kejayaan membangunkan galeri Sejarah itu juga adalah hasil sokongan padu daripada pihak pentadbiran sekolah terutama guru besar, Cikgu Abd Rashid Amat.

“Kami bertuah kerana seluruh warga sekolah yang tidak lokek menyumbang idea, tenaga dan wang ringgit, serta mendapat sokongan baik daripada PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) khususnya pengerusi PIBG ketika itu iaitu Sukor Hamdan.  

“Pada masa sama, bertuah kerana pihak Pegawai Pendidikan Daerah Pasir Gudang iaitu Tuan Kuswandi Tayen turut memberi sokongan padu ketika beliau melakukan kunjungan ke sekolah kami pada tahun lepas,” katanya.

Menurut Cikgu Elizawaty, besar harapannya agar platform tersebut dapat meningkatkan semangat patriotisme murid dan membantu mereka menguasai mata pelajaran Sejarah dengan sebaiknya.