PASIR GUDANG - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang akan memberi tumpuan kepada 12 buah sekolah yang dikenal pasti lokasi 'hotspot' insiden pencemaran udara sepanjang peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula Rabu ini.

Timbalan PPD Pasir Gudang, Md Yunan Abd Majid berkata, pihaknya telah mengambil langkah pencegahan.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) meletakkan pegawai berserta peralatan di sekolah 'hotspot' bagi memastikan bacaan kualiti udara yang bermula hari ini (semalam) sehingga tamat tempoh peperiksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Pertukaran Guru Korea Malaysia (Komtep) yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Dahlia di sini semalam.

Komtep dianjurkan secara tahunan sejak 2014 yang mana 10 orang guru dari Korea Selatan akan berkhidmat di sini manakala 10 orang guru dari Malaysia akan berkhidmat di negara tersebut selama tiga bulan.

Hadir sama, Penolong Pengarah Pengurusan Bakat JPN Johor, Sulaiman Basir dan Guru Besar SK Taman Bukit Dahlia, Mohd Senin Kassim.

Md Yunan berkata, selain itu, murid Tahun Satu hingga Lima di 12 sekolah terlibat akan diberi cuti sepanjang peperiksaan itu.

“Dalam tempoh itu, murid Tahun Enam yang menduduki peperiksaan hanya akan menggunakan kelas di aras bawah sebagai bilik peperiksaan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, dua guru sekolah rendah dari Korea Selatan iaitu Lee Kyeong Hun dan Choe Jong Hyeon teruja untuk mencurah khidmat bakti kepada murid SK Taman Bukit Dahlia selama tiga bulan menerusi program berkenaan bermula semalam.

Baca:

Kontinjen Kedah johan keseluruhan dalam MISS KPM peringkat kebangsaan

Cikgu Fadli sebak pesan pada ibu bapa buat ini jika anak 'exam'

Tip akhir menjelang UPSR, guru ini kongsi rahsia cemerlang dalam penulisan bahasa Melayu

Guru ini kongsi tip mudah, bagaimana nak 'power' penulisan bahasa Inggeris UPSR

'Dia kejut semua adiknya' - Tindakan pantas murid SK Seri Dungun berjaya selamatkan nyawa keluarga