Sejajar dengan usaha bagi melahirkan lebih ramai pelajar yang kreatif dan inovatif dalam bidang sukan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) buat julung kalinya telah menganjurkan Virtual Sport Innovation Carnival 2020 (VSIC2020), baru-baru ini.

Program anjuran pelajar program Sarjana Muda Sains dan Pendidikan (Sains Sukan) itu diadakan bagi menyokong Program Online Global Classroom (OGC) dan Festival Keusahawanan, Inovasi serta Kebolehpasaran Graduan (FesKIK), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UTM.

Menariknya, penganjuran VSIC2020 tersebut juga telah mendapat sokongan dan kerjasama yang baik dari Institut Sukan Negara (ISN) dan Universitas Negeri Padang (UNP), Indonesia.

Program VSIC2020 dibahagikan kepada dua acara iaitu Virtual Sport Innovation Showcase (VSIS) dan Webinar Online Global Classroom di mana VSIS telah memberi ruang kepada peserta (pelajar dan penyelidik) untuk mempamerkan serta mempertandingkan projek inovasi sukan yang bermula dari 2 hingga 27 Disember tahun lalu sekali gus untuk meraih Anugerah Kategori Inovasi Terbaik dan Poster Terbaik.

Penentuan pemenang projek inovasi telah diumumkan pada 31 Disember lalu menerusi Webinar Online Global Classroom dengan penjurian oleh juri khas yang terdiri dari pihak universiti dan industri.

Sesi perkongsian ilmu melalui Webinar Online Global Classroom itu dikendalikan empat penceramah iaitu Dr Diyana Zulaika Abdul Ghani (Pensyarah Inovasi dalam Pengajaran dan Pembelajaran, Sekolah Pendidikan, Fakulti Sosial Sains dan Kemanusiaan, UTM), Ts Dr Hadafi Fitri Abdul Latip (Timbalan Pengarah Pusat Inovasi Sukan dan Teknologi (SITC), Fakulti Kejuruteraan, UTM).

Turut mengambil bahagian, Dr Nurul Ihsan, M Pd (Timbalan Dekan III Bahagian Kemahasiswaan dan Alumni, Fakulti Keolahragaan, Universitas Negeri Padang), dan Ts Mohamad Fauzi Ibrahim (Ketua Cawangan Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi Sukan, Bahagian Penyelidikan dan Inovasi, Institut Sukan Negara) yang juga telah berjaya mengupas dan membincangkan isu berkaitan.

Menurut Dr Diyana Zulaika, program berkenaan dilihat mampu membantu pelajar dalam menghasilkan idea inovasi bagi kemajuan sektor sukan negara, di samping berupaya mencabar peserta untuk bersikap berani dan berdaya saing,.

“Peserta juga berpeluang untuk mempunyai pemikiran kreatif dan kritis sesuai dengan era revolusi industri 4.0.

“Platform ini juga mampu mengetengahkan kreativiti dan inovasi pelajar yang merupakan aset kepada kecemerlangan prestasi universiti sekali gus dapat melahirkan modal insan yang mempunyai daya pemikiran tinggi.

Acara kemuncak program VSIC2020 tersebut iaitu Webinar Online Global Classroom yang dilaksanakan pada 31 Disember lalu telah bersiaran secara langsung selama empat jam tanpa henti di tiga platform secara dalam talian.