Jika ada pihak sekolah yang masih mencari lokasi untuk mengadakan lawatan penanda aras, Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Kota Tinggi, Johor adalah destinasi terbaik kerana mempunyai Galeri Sejarah Tun Sri Lanang yang lengkap dan mempunyai banyak maklumat.

Sebagai sekolah yang tertua di daerah Kota Tinggi iaitu berusia 120 tahun sejak ditubuhkan pada 1899, ia menyimpan banyak kesan sejarah.

Dengan dekorasi yang menarik serta kemas membuatkan galeri ini wajar dikunjungi bagi membolehkan segala fakta sejarah, terdiri daripada catatan bertulis dan artifak dikongsi dengan lebih ramai orang selain warga sekolah itu sendiri.

Guru Penolong Kanan Kokurikulum, Zaini Ibrahim berkata, penubuhan galeri itu dicetuskan oleh Mantan Guru Besar, Nurlia Mohamad pada tahun 2012 lagi.

"Idea penubuhan galeri ini kemudiannya diteruskan dan ditambah baik oleh guru besar baharu, Tugi Wagiman," katanya.

Kata beliau, banyak kenangan pahit dan manis sepanjang melengkap bahan sejarah dalam galeri ini.

Paling tidak boleh dilupakan kata beliau, separuh daripada bahan sejarah yang disimpan sejak tahun 2007 musnah akibat banjir besar yang berlaku.

"Ketika bencana banjir yang melanda, banyak gambar dan album tahun 90-an termasuk majalah tahunan sekolah sejak tahun 70-an hingga 90-an musnah, sayang sungguh.

"Namun kami teruskan juga usaha dengan peruntukan sebanyak RM4,000 hasil sumbangan Panitia Sejarah, Panitia Kemahiran Hidup, guru-guru dan individu lain, kami nekad siapkan segala yang dirancang," katanya.

Cikgu Zaini berkata, tujuan asal penubuhan galeri itu adalah untuk menyediakan sudut Sejarah sekolah dan menjadi salah sebuah bilik pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc).

"Penubuhan galeri ini turut bertujuan mengabadikan gambar sekolah sejak ditubuhkan pada 1899 dan menyimpan gambar serta risalah peristiwa yang berlaku," katanya.

Kata beliau, Galeri Sejarah Tun Sri Lanang akhirnya disiapkan dalam tempoh enam bulan dan berjaya mendapat tempat kedua dalam pertandingan Sudut/Galeri Sejarah peringkat daerah 2013.

Walaupun belum dirasmikan, galeri ini yang siap sepenuhnya pada 30 Mac 2016 banyak memberi manfaat kepada guru dan murid sebagai alat bantu mengajar.

Kata beliau, kebanyakan artifak yang dimuatkan dalam galeri itu diperoleh daripada penduduk Kampung Kelantan dan Kampung Makam selain daripada Cikgu Ahmad Bahari Mardi yang merupakan ahli Persatuan Sejarah Negeri Johor.

Artikel berkaitan:

Galeri Junjung Setanggi SMK Sultan Sulaiman berjaya ke peringkat kebangsaan

Menyimpan banyak kesan sejarah.

Lukisan menggambarkan perkembangan sosioekonomi dan politik Kota Tinggi.

Inilah buku pendaftaran murid pada tahun 1960-an.

Wajar dijadikan destinasi lawatan penanda aras.

Dokumen keputusan peperiksaan Penilaian Darjah Lima dari 1978-1986.

 Senarai nama mantan guru besar SK Bandar Kota Tinggi.