BATU PAHAT - Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta'zim (YPKDT) menyasarkan seramai 800 pelajar di negeri ini menerima manfaat penganjuran Program Pembangunan Sahsiah, Emosi dan Eksplorasi (Pro-Seed) dan Program Transformasi Minda Insan (Pro-Mis).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Helmi Sha’ri berkata, pada tahun lalu sahaja seramai 2,000 pelajar yang terdiri daripada anak-anak penerima bantuan e-Kasih telah menerima manfaat penganjuran Pro-Seed dan Pro-Mis ini.

“Program ini diadakan atas kesedaran kerajaan negeri dalam meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat dan bertujuan bagi memutuskan rantaian kemiskinan dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah.

“Jadi, penglibatan anak-anak golongan miskin ini mampu menjadikan mereka sebagai ejen perubahan dalam membentuk sebuah institusi keluarga yang berkualiti.

“Selain dapat memberi kesedaran kepada pelajar mengenai kepentingan menggilap potensi diri untuk berjaya,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pro-Seed dan Pro-Mis di Pusat Minda Emas (PUMAS) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Tanjung Laboh, di sini, semalam.

Turut hadir Pegawai Daerah Batu Pahat, Zulkiflee Abbas; Timbalan Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Mustaffa Ibrahim dan Pengarah Bahagian Pengurusan Organisasi & Kompetensi UTHM, Hazifah Hani Ramli.

Menurutnya, keperluan program pembangunan jati diri ini terutamanya anak-anak keluarga yang tergolong dalam sistem e-Kasih ini dilihat perlu memandangkan cabaran era globalisasi yang begitu pesat.

“Kami (YPKDT) merangka mprogram ini dengan menggunakan kaedah berorientasi tindakan di samping berinovasi dalam mencari peluang yang boleh dimanfaatkan dalam meningkatkan taraf sosioekonomi keluarga golongan sasar ini,” katanya.

Pada majlis tersebut juga, YPKDT turut menyerahkan sumbangan kepada 10 ibu tunggal di DUN Parit Yaani dan bantuan peralatan membuat kek dan pastri kepada empat orang wanita Orang Asli di Rengit.

Artikel Menarik:

Tak berganjak walau seminit.. kesetiaan murid tahun 6 temani rakan berkerusi roda buat netizen sebak

'Tak apa Alia, kalian dan Allah bersama saya..' - Cikgu Fadli disekat jumpa Alia

'Beg mahal dan gelang emas ni untuk aku?' - Guru terkejut terima hadiah anak murid

KPM nasihatkan guru besar, pengetua nilai semula agihan tugas agar guru tidak terbeban

Ini senarai biasiswa yang masih dibuka untuk lepasan SPM mohon