Ibu bapa dan juga guru sering disalahkan apabila timbul masalah buta huruf dalam kalangan murid. Namun, menuding jari sahaja bukan penyelesaian, sebaliknya usaha untuk menangani permasalahan itu yang harus digerakkan bersama. Bertitik tolak daripada itu, seorang guru dari SK Kampung Soeharto, Hulu Selangor mengambil  pendekatan positif dengan membuat kajian secara langsung bagi mengatasi masalah tersebut.

Inisiatif Guru Pemulihan Khas SK Kg Soeharto, merangkap Jurulatih Utama Kebangsaan Pemulihan Khas, Cikgu Roslee Abdul @Mohd menggerakkan Program Jom Cakna Permata, 22 Januari lalu wajar diberikan pujian.

Menurut beliau, program tersebut bukan sahaja memberikan pendedahan kepada ibu bapa tentang kaedah dan teknik yang betul mengajar anak-anak istimewa.

.Ibu dan murid sebelum memulakan projek pembelajaran bersama

Tetapi juga memberi tarikan baru kepada murid untuk menjalani aktiviti belajar secara ‘hands on’ di rumah.

Program Jom Cakna Permata tersebut dianjurkan oleh Unit Kurikulum, Pemulihan Khas, Panitia Bahasa Melayu dan Unit Bimbingan dan Kaunseling dengan kerjasama Unit Pemulihan, Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Selangor.  

Program julung kali diadakan itu turut melibatkan 25 orang ibu bapa, 25 orang anak-anak pemulihan khas dan pendidikan khas dan juga tiga orang pegawai pemulihan khas dari Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Selangor yang bertindak sebagai fasilitator jemputan.

Turut hadir, Guru Besar SK Kg Soeharto, Sharifah  Arshad, Guru Penolong Kanan Kurikulum, Rozi Zuliani Mohd Sahimi, Pegawai Pemulihan Khas, Unit Pemulihan PPD Hulu Selangor, Azahari Daud, Sharifah Rahim, Zaimah Amimi Zakaria dan juga AJK PIBG SK Kg Soeharto.

“Sebenarnya ibu bapa bukan tidak mahu mengajar atau membimbing anak-anak mereka menguasai 3M. Tetapi masalah utama yang mereka hadapi, adalah tidak tahu cara terbaik untuk mengajar anak-anak istimewa ini di rumah.

Seronok belajar mengenal huruf

“Begitu juga guru, tidak semua guru mempunyai kepakaran mengajar anak murid yang tidak mampu kuasai 3M. Selalunya, hanya guru khas iaitu Guru Pemulihan Khas sahaja yang mempunyai kepakaran ini,”katanya.

Susulan daripada permasalah itulah, guru asal Kuala Terengganu mula melahirkan modul khas yang dinamakan sebagai Modul Peta Bingkai Cikgu Roslee.

Menurut Cikgu Roslee, modul kaedah lawan jam yang diperkenalkan beliau, merupakan satu-satunya kaedah yang belum pernah dikaji oleh para ilmuan dunia. Menerusi modul tersebut, hasilnya akan diterjemahkan melalui penghasilan bahan 'hands on'.

“Cabaran ketara untuk melaksanakan program ini adalah, meyakinkan ibu bapa agar dapat hadir dan terlibat sama. Kebiasannya, program seumpama ini kurang mendapat sambutan, memandangkan ibu bapa masih lagi dibelenggu rasa malu kerana kekurangan pada anak-anak.

“Justeru, satu pendekatan baharu telah saya buat, dengan cara menghubungi dan meyakinkan mereka bahawa Cakna Permata ini adalah satu program realiti yang pengisian ilmunya belum pernah dilaksanakan oleh orang lain,”jelasnya.

Murid ini sedang membina dan memadan kad roda

Tambah beliau, program tersebut bukan sahaja dibuat secara teori tetapi dilaksanakan secara 'hands on'. Ia memperlihatkan betapa berminatnya ibu bapa mengajar anak-anak mereka secara 'fun learning'.

Modul yang perkenalkan beliau dilaksanakan dalam dua fasa. Fasa pertama, ibu bapa membimbing anak-anak menggunting gambar dan kertas, kemudian mewarna, menampal dan membina kad belajar, dengan ditunjukcara oleh beliau sendiri.

Melalui fasa pertama itu ibu bapa dapat melihat sendiri kelemahan dan juga minat yang ditunjukkan oleh anak-anak. Menerusinya anak-anak akan diajar tentang huruf, nombor dan mengeja secara suku kata kepada perkataan.

“Pada fasa kedua, selain aktiviti menggunting kad manila, gambar, mewarna dan menampal. Ibu bapa dan murid juga membuat tugasan mencabar seperti kad tingkap, kad selak, kad bunga dan lain-lain.

“Ketika itu, ibu bapa berganding bahu mencipta kad perkataan dan dipadankan dengan gambar yang betul. Mereka sendiri akan mengajar anak-anak mengeja dan membaca. Waktu inilah terserlah lahirnya satu kombinasi mesra keluarga, yang boleh diterapkan ketika di rumah nanti,”ujarnya.

Impak program ini amat besarlah, ibu bapa ada ilmu untuk mengajar sendiri anak-anak istimewa ini di rumah, seterusnya mewujudkan satu pengisian masa berkualiti di antara mereka.

“Ibu bapa yang hadir sangat berharap, program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang. Malah saya sendiri juga bersedia untuk berkongsi ilmu dengan semua ibu bapa seluruh Malaysia,”jelas beliau yang turut mengharapkan agar KPM dapat melihat kaedah tersebut sebagai satu keperluan dalam kursus peningkatan guru.

Katanya, Unit Pemulihan khas PPD Hulu Selangor turut menyokong pelaksanaan program ini. Dijangka akan dilaksanakan di seluruh daerah Hulu Selangor tidak lama lagi.

Sebelum itu, Cikgu Roslee turut dijemput mengendalikan bengkel 3M di beberapa buah sekolah di Pulau Pinang, Johor, Melaka dan Perak

Penghujung Februari ini, beliau akan berada di SK Ampangan, Kuala Pilah, disebabkan impak yang amat tinggi pada siri-siri perkongsian lepas.

Tambah beliau, hasil daripada perkongsian itu, sudah ramai murid yang sebelum ini tidak dapat membaca sudah mula mengenal huruf dan berjaya dalam peperiksaan UPSR.

Sementara itu, Guru Besar SK Kg Soeharto, Sharifah  Arshad berkata, beliau sendiri pertama kali melihat kaedah dan modul yang diperkenalkan.

“Konsep ‘fun learning’ yang ditonjolkan oleh Cikgu Roslee yang baru berpindah ke SKKS menarik perhatian saya. Apatah lagi, ia berjaya menarik minat murid belajar selama empat jam tanpa jemu.

“Selain memberi pendedahan kepada ibu bapa penjaga akan teknik dan kaedah terbaik untuk merangsang minda anak-anak, hubungan yang erat juga dapat terjalin di antara sekolah dan ibu bapa,”katanya.

Artikel Menarik:

'Kerana sering gatal kepala, Cikgu Aisham nekad kutip kutu murid. Buang tepi jijik, kotor, geli'

'Cutipun murid datang sekolah' - Rimba Kecil berjaya selesaikan masalah kehadiran SK Sayong Pinang

'Tak sangka dia boleh lukis macam ni' - Guru Bahasa Melayu terkejut tengok buku karangan pelajar

Patutlah hari persaraan dapat hadiah jongkong emas, bukan 'kaleng-kaleng' cikgu sukan ini

'Saya tak pernah makan ayam sesedap ini, cikgu' - Tangisan pelajar B40 buat ramai sedih