SHAH ALAM - Bagi memberi pengetahuan dan kesedaran kepada masyarakat terutamanya murid mengenai bahaya dadah, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) menganjurkan Karnival Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) peringkat Negeri Selangor, Sabtu ini.

Program yang bermula pada 8 pagi hingga 4 petang itu anjuran Unit PPDa JPNS dan Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Perdana.

Penolong Pengarah Kanan, Pendidikan Pencegahan Dadah, JPNS, Mohd Idrus Arifin berkata, Karnival PPDa merupakan salah satu program Kementerian Pendidikan (KPM) yang dilaksanakan di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan dalam usaha melahirkan murid yang berpengetahuan serta berkemahiran menolak ancaman dadah selain gejala sosial yang lain.

"Pada tahun ini, hampir semua daerah akan menganjurkan Karnival PPDa untuk memberi kesedaran mengenai bahaya dadah secara santai tetapi berkesan selain menyediakan pasukan ke peringkat negeri Selangor.

"Program bertujuan mengukuhkan lagi minda dan sikap anti dadah melalui aktiviti persembahan karya kreatif murid selain elemen motivasi dan aktiviti interaktif di tapak pameran," katanya.

 

Mohd Idrus

 

Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung di FB Live Sinar Harian, kelmarin.

Mohd Idrus berkata, sebanyak 19 acara akan dipertandingkan sepanjang berlangsungnya karnival yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Setia Alam dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Setia Alam.

"Antaranya, sajak, melukis poster, bunting, busking (baru diperkenalkan), nasyid, boria, nyanyian solo, jom bola, hiasan berinformasi, permainan interaktif, video pendek, dikir barat dan bercerita.

"Penyertaan terbuka kepada semua pelajar namun ada dua kategori disediakan untuk guru bertanding iaitu pertandingan hiasan berinformasi dan permainan interaktif," ujarnya.

Karnival PPDa yang berslogankan 'Hidup Ceria Tanpa Dadah' akan dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan JPNS, Mohd Salleh Mohd Kassim.

Sebuah basikal turut disediakan untuk pengunjung bertuah.

 Murid SK Setia Alam turut mempromosikan Karnival PPDa.

 

 

Editor GPS Bestari, Wan Normi Hasan (kiri) bersama Mohd Idrus (tengah) dan Pengarah Urusan MZY Skytrue Pro, Mohammad Zuhdi Yahya (kanan), ketika sesi FB Live Sinar Harian bagi mempromosikan Karnival PPDa.