DILAHIRKAN dengan badan penuh bulu hingga mendapat liputan akhbar dan tular di media sosial bukanlah satu perjalanan hidup yang mudah buat anak comel ini.

Nurul Afida Batrisya Razi yang kini merupakan murid tahun 4 Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kemudi, di sini sememangnya menjadi tumpuan rakan kerana keadaannya yang berbeza.

Berdasarkan laporan perubatan, dia bukannya menghidap sebarang penyakit mahupun penyakit kulit malah bulu yang tumbuh di seluruh badannya disebabkan hormon berlebihan.

Bagi menyelami apa yang dialami murid ini,  wartawan GPS Bestari.com Syahidatul Akmal Dunya mendapatkan guru kelasnya, Cikgu Rafidah Mohd Noor.

Memulakan perbualan, Cikgu Rafidah memuji akhlak yang dimiliki muridnya itu.

Katanya, Nurul Afida Batrisya yang dipanggil Afida itu seorang murid yang sangat rajin dan gemar membantu kawan-kawan.

"Walaupun dia dalam pendidikan khas kerana dikategorikan sebagai lembam namun itu tidak pernah membataskan pergaulannya dengan rakan.. sikap ringan tulangnya sangat disukai semua.

“Dalam kelas saya ada seorang murid yang berkerusi roda, Afidalah yang rajin menolak kerusi roda murid berkenaan ke mana sahaja dia nak pergi,” katanya.

Tak pernah rasa rendah diri

Cikgu Rafidah berkata, Afida juga rajin ulang kaji pelajaran, boleh menulis dan punya keyakinan diri yang tinggi.

"Saya bangga kerana keadaannya yang berbulu tidak pernah membuatkan dia rasa rendah diri atau malu untuk ke depan.

"Setiap kali ada aktiviti sekolah, dia yang akan menawarkan diri, terutama sekali dalam sukan," katanya.

 Kata Cikgu Rafidah berkata, jika dibandingkan prestasi akademik Afida dalam kalangan rakan sekelas dengannya, dia agak ke depan.

“Walaupun hujan, ribut dia tetap akan hadir ke sekolah dan jarang ponteng kelas. Rekod kedatangannya penuh. Pernah hanya dia seorang yang hadir ke kelas,” katanya yang mengajar mata pelajaran Kemahiran Hidup.

Menceritakan ketika awal Afida bersekolah, dia mengakui muridnya itu mengalami masalah kerana keadaannya yang berbeza.

Melihatkan muka dan tangan dipenuhi bulu, dia diejek dan diketawakan hingga benteng sabar dan tembok 'tidak apa'nya musnah.

“Benar, ketika mula-mula bersekolah ada murid-murid yang mengejeknya, pada mulanya dia marah tetapi sekarang, saya tengok dia 'cool' dan ceria.

“Tahun ini adalah tahun pertama saya menjadi guru kelasnya dan sepanjang pemerhatian, saya melihat Afida cenderung dalam bidang kemahiran," katanya.

 

AFIDA

Afida (kanan) berborak dengan rakan sekelasnya, Nur Ayuni Mohd Noor.

Tolong jaga adik

Jika di sekolah dia rajin membantu rakan lain, nilai murni itu turut menjadi amalan ketika di rumah bersama keluarga.

Anak ketiga daripada lima beradik pasangan Razi Mohd Noor, 42 dan Asliza Omar, 36 ini rajin membantu ibunya menjaga adik yang berusia sembilan bulan.

Kata si ibu, kalau Afida di rumah dia akan membantunya menjaga adik malah kadangkala menolongnya membuat kerja dapur.

Asliza berkata, apabila berada di rumah, Afida memang ringan tulang, dia akan bantu menjaga adik-adik dan kadangkala menolong di dapur.

Namun kadangkala, hatinya tersentuh apabila sering diajukan Afida mengenai dirinya yang berbulu.

“Dia selalu tanya saya, kenapa dia berbulu? Saya jawab dia comel dan Afida pernah bagi tahu, kalau ada yang boleh bantu dia mahu buang bulu-bulu seluruh tubuhnya.

“Saya terkejut dengan permintaannya, tak sangka anaknya yang baru berusia 10 tahun boleh fikir sampai macam tu," katanya.

Kata Asliza, sebelum ini Afida pernah menerima rawatan di hospital tetapi kerana Afida tidak pernah mengalami masalah kesihatan dan tahap pernafasannya baik, dia kini tidak dirujuk di hospital lagi.

Tambah Asliza, Afida adalah seorang kanak-kanak yang aktif, dia gemar bersukan dan suka acara lumba lari selain itu, Afida juga suka menari.

Asliza dan suami menagih harap supaya Afida membesar dengan sempurna dan berjaya dalam hidupnya seperti mana insan lain.

Afida (kanan) ketika mengikuti aktiviti yang dianjurkan sekolah.

Afida (kanan) meraikan majlis hari lahir rakan sekelasnya.

Afida (duduk kanan) ketika menyertai Kem Jati Diri Permata Syurga.

Guru Pendidikan Islam Ustazah Nor Azlina Che Hamat membantu Afida mengulang kaji pelajaran.